GMM tawar jadi platform jambatan komuniti ASEAN

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Sebagai agenda yang diluluskan ASEAN, Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), ingin menawarkan dirinya untuk menjadi platform bagi membina jambatan dan memanfaatkan komuniti ASEAN yang bersifat pelbagai etnik, pelbagai bahasa dan pelbagai agama.

Dalam kenyataan hari ini, pengerusi eksekutif dan ketua pegawai eksekutif Yayasan Pergerakan Global Datuk Dr Nasharudin Mat Isa berkata pihaknya amat yakin bahawa kepelbagaian yang wujud di rantau ini boleh menjadi sumber kekuatan dalam mempromosi kesederhanaan, sekali gus mengukuhkan lagi perpaduan ASEAN, yang akhirnya menyumbang kepada kewujudan bersama di rantau ini.

“Kami berhasrat mewujudkan kekuatan penting dalam kalangan golongan berfahaman sederhana yang rindukan keamanan dan kemajuan. Satu daripada inisiatif yang akan kami laksanakan mulai 2018 ialah Persidangan Kepelbagaian & Keterangkuman Belia” (DIYC),” katanya sambil menjelaskan bahawa DIYC bertujuan menggerakkan belia Malaysia dan mereka dari seluruh rantau ASEAN.

Terdahulu, beliau berkata ASEAN mencatat kemajuan mengagumkan dalam memupuk kerjasama serantau dan menyumbang ke arah keamanan, kemajuan dan kemakmuran di rantau ini sejak penubuhannya pada 1967.

“ASEAN adalah antara segelintir kumpulan serantau yang telah berjaya mempertahankan kedudukannya serta kekal relevan dengan keadaan semasa dunia, sebahagiannya hasil daripada kepimpinan 10 negara anggota yang telah memanfaatkan ASEAN secara bijak untuk mengadakan libat sama. – Bernama