Go Digital Asean bantu PMKS

Oleh SIM Y. H.

Go Digital ASEAN merupakan inisiatif serantau yang menumpukan kepada mengurangkan jurang digital dalam kalangan negara anggota ASEAN di mana bagi menyokong visi berkenaan, Jawatankuasa Penyelarasan ASEAN bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (ACCMSME) telah ditubuhkan.

Inisiatif itu dilaksanakan oleh The Asia Foundation dengan bantuan pembiayaan sebanyak AS$3.3 juta daripada Google.org di mana ia direka untuk melengkapkan dan melatih sehingga 200,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan belia tidak bekerja termasuk wanita dengan kemahiran dan peralatan digital yang penting supaya mereka dapat memanfaatkan teknologi bagi membangunkan perniagaan mereka.

Inisiatif tersebut akan bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan di Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, di mana bantuan pembiayaan itu akan menyaksikan penyertaan yang lebih meluas dalam ekonomi digital yang menyaksikan penglibatan daripada kumpulan-kumpulan yang mampu untuk meraih manfaat daripada kemahiran abad ke-21 seperti literasi digital dan kesedaran keselamatan atas talian.

Ia juga dihasratkan untuk memberikan peluang kepada mereka memanfaatkan sepenuhnya ekonomi digital yang pesat berkembang serta mengembangkan lagi peluang ekonomi di seluruh ASEAN dan mengurangkan kesan negatif daripada krisis COVID-19.

Di Negara Brunei Darussalam, inisiatif Go Digital ASEAN akan memberikan latihan kepada golongan belia dan pemilik perusahaan untuk mendapatkan kemahiran bagi membukakan lagi pasaran untuk produk-produk mereka, menghasilkan kempen pemasaran digital mereka sendiri serta menyediakan peralatan untuk memantau dan menyesuaikan kempen pemasaran.

Fisha (kiri) dan Fatin (tengah) membentangkan mengenai perancangan yang akan diperkenalkan oleh BigBWN dan YEAB dalam pelaksanaan Projek Go Digital ASEAN bagi Negara Brunei Darussalam.
Pengiran Hajah Zety Sufina menyempurnakan Pelancaran Go Digital ASEAN bagi Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Auditorium, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Anggerek Desa pada 16 Julai lalu.

Di samping itu, latihan digital adalah disesuaikan kepada keperluan, keadaan dan konteks sesebuah negara di mana rakan kongsi pelaksana tempatan akan menggunakan pembiayaan untuk membangunkan modul latihan literasi digital bagi 4,000 PMKS dan belia tidak beker-ja termasuk mereka daripada minoriti etnik dan orang kelainan upaya.

Ia akan dilaksanakan oleh rakan kongsi tempatan di negara ini iaitu Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB) dan BigBWN dengan menekankan matlamat untuk menanam semangat keusahawanan dan kemahiran literasi digital bagi menggalakkan kumpulan sasaran untuk memulakan perniagaan mereka sendiri dan mengembangkan lagi perusahaan mereka.

Latihan tersebut akan dijalankan di keempat-empat daerah iaitu Daerah Brunei dan Muara, Belait, Tutong dan Temburong.

Sehubungan dengan itu, Pelancaran Go Digital ASEAN bagi Negara Brunei Darussalam diadakan di Auditorium, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Anggerek Desa oleh Setiausaha Tetap (Perindustrian), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Pengiran Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani pada 16 Julai lalu.

Semasa pelancaran itu, Ketua Pegawai Eksekutif Darussalam Enterprise (DARe), Javed Ahmad berkata tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan teknologi dan peralatan digital telah dikenal pasti menyumbang ke arah pengurangan jurang digital untuk menjana PMKS yang kompetitif, berdaya tahan dan inovatif di mana ia adalah selaras dengan usaha Negara Brunei Darussalam untuk mempromosikan pendigitalan.

Oleh itu, untuk mencapai keperluan dan kepentingan bersama itu, inisiatif Go Digital ASEAN mampu menghubungkan jurang digital menerusi latihan literasi digital yang direka khusus bagi melengkapkan kemahiran berkenaan bukan sahaja untuk PMKS tetapi juga belia yang tidak bekerja terutamanya di kawasan-kawasan pedalaman.

Inisiatif itu akan menumpukan kepada dua perkara iaitu pembangunan kemahiran digital dan keselamatan atas talian. Bagi pembangunan kemahiran digital, ia akan membolehkan orang ramai untuk mengakses peralatan dan kemahiran yang paling relevan untuk memperbaiki lagi kehidupan serta membantu perniagaan mereka berjaya dalam ekonomi digital.

Perisian bagi program itu merangkumi kemahiran literasi digital asas hingga kepada peralatan kemahiran digital yang lebih canggih.

Manakala itu, bagi keselamatan atas talian, komponen keselamatan atas talian akan dimasukkan di mana ia akan membantu pekerja bagi perniagaan-perniagaan kecil lebih peka mengenai peralatan sekuriti serta tip untuk melindungi diri mereka dan perniagaan-perniagaan kecil di mana mereka bekerja daripada ancaman sekuriti atas talian seperti phishing dan malware.

Pelaksanaan projek atau inisiatif Go Digital ASEAN di Negara Brunei Darussalam akan dilaksanakan oleh rakan kongsi tempatan iaitu BigBWN dan YEAB. Semasa sesi perkongsian di pelancaran itu, pengasas BigBWN, Fisha Rashid menyatakan bahawa bagi projek itu nanti, mereka menyasarkan seramai kira-kira 2,000 belia yang tidak bekerja, 450 daripada komuniti terpinggir dan kumpulan etnik serta 50 orang daripada golongan kelainan upaya dalam lingkungan usia 18 hingga 35 tahun.

Bagi tujuan itu, beliau menerangkan bahawa projek berkenaan akan dilaksanakan dengan kerjasama daripada pelbagai pihak yang berkenaan iaitu Nisai Brunei, Pakar Tenaga Bersatu, BAH Digital, AITI, Comquest Brunei, BruCERT, Projek Feed dan IBTE sebagai rakan kongsi strategik.

Beliau juga mendedahkan bahawa bagi pelaksanaan projek berkenaan dengan jayanya di seluruh negara, pihaknya juga mendapat sokongan daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Pusat STEP, Kementerian Pendidikan.

Fisha mendedahkan bahawa bagi pelaksanaan projek itu, mereka akan mengendalikan lapan bengkel bagi belia-belia tidak bekerja dan lapan projek bagi komuniti yang terpinggir yang akan dilaksanakan di keempat-empat daerah bermula Ogos 2020 hingga Jun 2021.

Pada masa yang sama, pihaknya juga akan bekerjasama dengan kumpulan yang relevan yang mahir dalam kerja-kerja berkaitan golongan kelainan upaya bagi projek itu.

Manakala itu, Presiden YEAB, Fatin Arifin menjelaskan bahawa projek Go Digital ASEAN hadir pada masa yang amat strategik di mana pandemik COVID-19 telah memaksa banyak perniagaan untuk mengkaji semula model perniagaan mereka pada masa ini serta kesediaan digital masing-masing dalam melaksanakan pelbagai perkara sehingga terdapat minat yang amat tinggi di kalangan PMKS untuk menjadi lebih cilik dan bersedia secara digital.

Di samping itu, jelasnya lagi, kerajaan juga telah melancarkan Pelan Induk Ekonomi Digital yang membentangkan rancangan negara ke arah sebuah negara pintar yang memerlukan pemain industri untuk berubah dan menyelaraskan pendigitalan ke dalam perniagaan mereka. Sehubungan dengan itu, terdapat peluang yang besar bagi PMKS untuk menyokong pendigitalan memandangkan masih terdapat jurang yang besar dalam pelaksanaannya.

Menurut Fatin, pihaknya telah mengendalikan kajian sejak Mei lalu dan telah mengenal pasti beberapa rintangan utama kepada pendigitalan khususnya literasi digital di kalangan PMKS dan berharap di akhir program pada Jun 2021, mereka akan dapat merealisasikan satu Peta Jalan bagi Pendigitalan PMKS yang akan membantu usahawan sebagai garis panduan ke arah pendigitalan.

Beliau berkata pihaknya bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi utama termasuk Google Developers Group Brunei, Maven’s Hive dan Eico untuk mengeluarkan program bagi pelbagai peringkat PMKS serta pada masa yang sama, bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang relevan dan rakan kongsi korporat utama untuk menubuhkan peluang kolaborasi yang bermatlamat untuk menjana impak dan memacu pelaksanaan teknologi di semua industri.

“Rancangan kami adalah untuk melaksanakan kempen sepanjang tahun menerusi media sosial yang menumpukan kepada empowering digital adoption of MSMEs dan menghubungkannya dengan pelbagai program yang akan kami laksanakan bersama rakan-rakan kongsi utama kami,” katanya.

Fatin berkata lagi bahawa bersama dengan rakan-rakan kongsinya, mereka akan melancarkan siri program yang bertujuan untuk mempromosi peralihan PMKS ke arah pendigitalan melalui pelbagai inisiatif termasuk dialog, seminar dan bengkel di mana mereka akan didedahkan kepada peralatan pendigitalan yang boleh dimanfaatkan oleh PMKS dalam operasi perniagaan mereka.