JAKARTA, 24 Mei – Aplikasi pengangkutan Indonesia, Go-Jek mengumumkan hari ini ia akan mengembangkan operasinya ke Vietnam, Thailand, Singapura dan Filipina, tatkala ia terus cuba bersaing dengan Grab, pesaing serantaunya di pasaran Asia Tenggara yang berkembang pantas.
Langkah itu merupakan pengembangan pertama Go-Jek di luar Indonesia dan ia datang selepas syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Uber tahun ini berkata ia akan menjual perniagaannya yang bergelut di rantau ini kepada Grab Singapura.
Go-Jek mengendalikan beberapa operasi seperti teksi motosikal, kereta persendirian dan perkhidmatan lain termasuk perkhidmatan urut, pembersihan rumah, kedai runcit dan penghantaran makanan, semuanya tersedia di hujung jari pengguna telefon pintar.
Syarikat itu berkata ia akan melabur AS$500 juta untuk pengembangan operasinya di peringkat antarabangsa itu, bermula dengan perkhidmatan menunggang motosikal dalam beberapa bulan akan datang ini. – AFP
