Goh Chok Tong bersara daripada politik Singapura

SINGAPURA, 25 JUN – Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong membuat keputusan untuk bersara daripada politik pada Pilihan Raya Umum akan datang, menurut Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.

Menurut Lee, “dengan rasa amat sedih” beliau menerima keputusan Goh untuk bersara yang dimaklumkan kepadanya menerusi sepucuk surat, bermakna bekas perdana menteri itu tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum akan datang selepas 44 tahun menjadi ahli parlimen.

“Kami telah bekerja bersama-sama selama hampir 40 tahun,” tulis Lee dalam catatan terkininya di Facebook beliau hari ini yang turut disertakan dengan gambar beliau dan Goh.

Lee dalam tulisannya itu menyatakan Goh telah melalui perjalanan politik luar biasa dan menjadi Ahli Parlimen kawasan Marine Parade pada usia 35 tahun, dengan beliau berkhidmat mewakili kawasan itu sejak 1976.

“Beliau pernah memegang pelbagai portfolio sebelum diminta oleh rakan-rakan menteri (termasuk saya) menjadi Perdana Menteri kedua Singapura dan beliau tidak mengecewakan Singapura.” – Bernama