Thursday, April 18, 2024
25.3 C
Brunei

    -

    Gol Alaba beri Real kemenangan

    MADRID, 15 OGOS – David Alaba menjaringkan gol menerusi sepakan percuma yang menakjubkan selepas dimasukkan sebagai pemain simpanan untuk membantu penyandang juara Real Madrid bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Almeria 2-1 pada perlawanan pembukaan La Liga musim ini kelmarin.

    Skuad kendalian Carlo Ancelotti ketinggalan menerusi gol awal Largie Ramazani di tempat lawan menentang pasukan yang baru dinaikkan taraf ke saingan liga utama namun Lucas Vazquez berjaya menyamakan kedudukan selepas sejam perlawanan.

    Gol kemenangan terhasil selepas perlawanan berbaki 15 minit di Stadium Power Horse Almeria ketika Alaba melangkah masuk ke padang dan melakukan sepakan percuma selepas Luka Modric dikasari di luar kotak penalti.

    Real terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan mata menentang pasukan Almeria yang memenangi kejuaraan divisyen dua musim lalu dan kembali ke La Liga selepas tujuh tahun.

    “Kami melakukan banyak rembatan ke gawang tetapi apabila kami mendapat gol pertama ia menjadi lebih mudah buat kami,” kata Ancelotti.

    “Saya gembira dengan cara permainan berlangsung. Kami tidak hebat tapi terdapat banyak perkara yang perlu diambil kira seperti perlawanan pada hari Rabu dan cuaca yang panas.”

    Pada satu ketika ia kelihatan seperti Madrid akan berdepan kekalahan dalam perlawanan pembukaan liga musim ini buat kali pertama sejak 2008, dengan keputusan Ancelotti merombak pasukannya tidak membuahkan hasil.

    Skuad kendalian pengurus dari Itali itu membuat lima perubahan pada barisan depan yang bermula dengan kemenangan 2-0 pada Rabu lalu menewaskan Eintracht Frankfurt dalam aksi Piala Super UEFA di Helsinki dengan gol dari Alaba dan Karim Benzema memberikan juara bertahan Eropah itu trofi pertama kempen kali ini.

    Alaba dan Modric adalah antara pemain yang diletakkan di bangku simpanan manakala pemain yang baru ditandatangani, Antonio Rudiger dan Aurelien Tchoumeni diberikan perlawanan kompetitif pertama bersama kelab baharu mereka. – AFP

    Reaksi David Alaba (kiri) ketika meraikan jaringan gol kedua pasukannya dalam perlawanan di antara Almeria dan Real Madrid di Stadium Municipal Sukan Mediterranean di Almeria pada 14 Ogos 2022. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...