LONDON, 17 MEI – Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker menjaringkan gol dramatik pada minit ke-95 untuk memberikan Liverpool kemenangan berharga 2-1 ke atas West Bromwich Albion kelmarin untuk mengekalkan peluang mereka memburu kedudukan di Liga Juara-Juara musim hadapan.
Sementara itu, Tottenham juga mencatat keputusan selesa 2-0 ke atas Wolves untuk mara ke kedudukan Liga Europa, tetapi harapan Everton beraksi di bola sepak Eropah terjejas setelah tewas mengejut 1-0 ke atas Sheffield United di Goodison Park.
Tandukan cantik Alisson mengekalkan keyakinan Liverpool menamatkan kedudukan empat teratas dalam genggaman mereka walaupun berada di kedudukan kelima.
Pasukan Jurgen Klopp mengejar pasukan di tangga keempat, Chelsea dengan satu mata dan Leicester dengan tiga mata, yang mana perlawanan kini berbaki dua perlawanan.
Tetapi Leicester dan Chelsea masih akan bertemu sesama mereka dalam ulangan final Piala FA, di mana The Foxes memenangi trofi tersebut dengan keputusan 1-0 pada Sabtu, kemenangan ke atas Burnley dan Crystal Palace akan membawa Liverpool menghuni kedudukan empat teratas.

Pasukan yang sudah disingkirkan, The Baggies mendahului perlawanan menerusi Hal Robson-Kanu sebelum Mohamed Salah menyamakan kedudukan sebelum separuh masa.
Tetapi Liverpool masih terikat seri apabila Alisson menanduk masuk bola ke gawang pada minit kelima masa tambahan.
Ayah kepada pemain Brazil tersebut meninggal dunia pada Februari akibat lemas semasa berenang.
Alisson tidak dapat pulang semasa pengebumian pada masa itu akibat sekatan kuarantin ke atas perjalanan luar negara dan kelihatan sangat emosi pada tamat perlawanan.
“Saya berharap dia dapat menyaksikan saya tetapi saya yakin dia ada menyaksikannya dan meraikan gol tersebut,” kata Alisson.
“Anda tidak dapat menjelaskan banyak perkara dalam kehidupan. Bagi saya satu-satunya sebab untuk semua perkara baik tersebut ialah meletakkan tangannya ke kepala saya dan saya merasa sangat bertuah hari ini.”- AFP