Gol Alonso selamatkan Chelsea

BOURNEMOUTH, 1 MAC – Marcos Alonso terus menempa nama dalam senarai jaringan gol dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris apabila berjaya menjaringkan dua gol tatkala Chelsea bangkit dengan keputusan 2-2 ke atas Bournemouth pada Sabtu.

Keputusan seri tersebut mengekalkan Chelsea di tempat empat teratas, dengan pemain pertahanan kiri, Alonso menjaringkan gol pembukaan dengan sepakan kemas selepas percubaan Olivier Giroud terkena tiang gol melalui sepakan akrobatiknya.

Tetapi Bournemouth berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-54 melalui tandukan Jefferson Lerma dan selang tiga minit kemudian The Cherries mendahului perlawanan menerusi pemain penyerang mereka, Josh King.

Bagaimanapun, Alonso tidak membenarkan The Cherries memperoleh kemenangan setelah beliau menanduk masuk bola ke dalam gawang dengan perlawanan berbaki lima minit selepas Aaron Ramsdale berjaya menepis bola hantaran Pedro Rodriguez.

“Kami menjangkakan pertarungan yang sengit dan mereka memberikan kami saingan yang baik tetapi kami sepatutnya memenangi perlawanan tersebut. Kami memiliki penguasaan bola yang baik dan peluang yang banyak,” menurut pengurus Chelsea, Frank Lampard.

Alonso kini telah menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan liga, dua gol terdahulu dijaringkan ketika Chelsea berjaya menewaskan saingan pasukan Tottenham Hotspurs.

Bournemouth dipisahkan dengan hanya dua mata dari zon penyingkiran dan kelab dari pantai Selatan tersebut mampu meluaskan jarak mereka dari tiga pasukan terbawah jika pemain tengah mereka, Philip Billing tidak mensia-siakan dua peluang keemasan dalam lima minit selepas perlawanan bermula. – AFP