KUALA LUMPUR, 10 OGOS – Sabah FC terus memberi cabaran hebat dalam persaingan merebut kejuaraan Liga Super selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Sarawak United FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, kelmarin.
Bekas pemain tengah skuad kebangsaan Malaysia, Baddrol Bakhtiar muncul wira pasukan apabila menanduk masuk bola hantaran lintang rakan sepasukan Saddil Ramdani pada minit ke-63 yang menjadi gol kemenangan skuad Sang Badak.
Sabah berpeluang menambah jaringan, namun percubaan Taiki Kagayama pada minit ke-71 hanya singgah di palang selepas ditepis penjaga gol Taufiq Ar Rasyid Johar yang menyaksikan perlawanan berkesudahan 1-0 sekali gus memberi tiga mata berharga kepada pasukan tuan rumah.
Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu kini berada di tangga kedua selepas mengumpul 34 mata dalam 15 aksi, hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang selesa menerajui takhta liga dengan kurang dua perlawanan.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, Negeri Sembilan FC meraih kemenangan ketiga berturut-turut selepas mengatasi Penang FC 3-2 sekali gus mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga dengan mengumpul 29 mata selepas 15 perlawanan. – Bernama