Gol cantik Wijnaldum bantu The Reds

LIVERPOOL, 1 Jan – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memuji jaringan ‘cantik’ Georginio Wijnaldum selepas tandukan pemain tengah Belanda itu membantu The Reds meraih kemenangan 1-0 ke atas Manchester City, pagi tadi.

Wijnaldum menyempurnakan hantaran Adam Lallana dengan tandukan deras pada minit kelapan di Anfield bagi merapatkan kembali jurang mata dengan pendahulu Chelsea kepada enam sekali gus memberikan Liverpool kelebihan empat mata daripada penghuni tangga ketiga, City.

“Ia sangat sukar. Kami tidak mampu mencipta banyak peluang. Kami bertahan dengan sangat baik. Ia satu gol yang sangat menarik,” kata Klopp.

“Kualiti Manchester City dengan situasi – apabila kamu terlalu bergantung kepada perlawanan seperti ini, pada akhirnya sudah pasti kamu inginkan segala-galanya. Syukur kerana kami meraih kemenangan dan kami bakal beraksi lagi Isnin ini (menentang Sunderland).

“Kami mendapat beberapa peluang. Pada babak kedua, masalah utama kami ialah terlalu banyak melepaskan bola. Saya tidak tahu peluang terbaik yang ada buat mereka.”

Aksi Wijnaldum (kiri) ketika meraikan jaringan selepas berjaya membolosi pintu gawang pasukan lawan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Manchester City dan Liverpool di Anfield, semalam. – AP
Aksi Wijnaldum (kiri) ketika meraikan jaringan selepas berjaya membolosi pintu gawang pasukan lawan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Manchester City dan Liverpool di Anfield, semalam. – AP

Dalam pada itu, kekalahan City itu menyaksikan The Citizens kini sudah empat kali tewas dalam saingan liga musim ini dan biarpun tampak meningkat di babak kedua namun dilihat seakan tidak serius dalam mempamerkan kebangkitan.

“Kami bermula dengan sangat bagus. Mereka berjaya menyempurnakan peluang pertama yang mereka miliki, jadi ia menjadi situasi yang sangat sukar,” kata pengurus City, Pep Guardiola.

“Pada babak pertama, kami tidak banyak mencipta peluang tetapi pada babak kedua ada peningkatan. Tidak terlalu banyak peluang yang tepat. Dalam aksi seperti ini, satu perkara kecil pun mampu mengubah perlawanan.

“Kami harus fokus pada perlawanan seterusnya, bukan terhadap sasaran atau Liga Perdana. Selepas ini kami bertemu Burnley (esok). Jadi kami akan memulakan langkah kedua dan lihat apakah yang bakal terjadi.” – AFP