Gol Casemiro penyelamat Madrid

MADRID, 2 OKT – Tandukan lewat Casemiro menyelamatkan Real Madrid daripada kekalahan memalukan di laman sendiri menentang Club Brugge semalam apabila pasukan Zinedine Zidane bangkit dari ketinggalan dua gol untuk seri 2-2 dalam Liga Juara-Juara.

Madrid dikuasai Brugge yang cemerlang pada babak pertama dan penyerang mereka, Emmanuel Dennis, yang menjaringkan dua gol di Santiago Bernabeu sepatutnya melengkapkan hatrik sejurus selepas rehat.

Sebaliknya, Madrid mula bangkit ketika Sergio Ramos menanduk masuk sebelum Casemiro menjaringkan gol penyamaan dramatik pada minit ke-85, beberapa saat setelah pemain Brudge, Ruud Vormer dibuang padang untuk kad kuning kedua.

“Saya mahu mengekalkan babak kedua dan melupakan babak pertama,” kata Zidane. “Kami bolos dengan jaringan yang amat menggelikan.”

“Perlawanan itu bersejarah, mata bersejarah dan cara kami bermain juga bersejarah,” kata jurulatih Brugge, Philippe Clement.

Selepas kalah 3-0 kepada Paris Saint-Germain dua minggu lalu dalam kekalahan paling buruk Zidane sebagai jurulatih, Madrid agak lega menghindari kekalahan lain yang boleh menyingkirkan mereka pada peringkat kumpulan kali ini.

Tetapi tidak ada keraian pada wisel penamat bagi Madrid selepas prestasi tidak menentu itu menilai semangat dan momentum tiga kemenangan berturut-turut di La Liga.

“Kami tahu berada dalam situasi yang lebih teruk dalam Liga Juara-Juara tetapi kami terus melangkah.

“Kami perlu berbuat lebih banyak lagi dan perlu melakukan yang lebih baik,” tambah Ramos. – AFP

Casemiro meraikan gol penyamaan ketika menentang Club Brugge di Stadium Santiago Bernabeu, kelmarin. – AP