Gol Curtis julang The Reds

PARIS, 2 DIS – Aksi permainan Curtis Jones berjaya membawa Liverpool mara ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara selepas menewaskan Ajax 1-0 pada perlawanan mereka awal pagi tadi.

Liverpool tidak mempunyai banyak pemain utama dalam perlawanan menentang Ajax susulan kecederaan tonggak utama Liverpool dengan Curtis Jones, 19, menjaringkan gol tunggal permainan dan Caoimhin Kelleher memastikan dia tidak dibolosi pada penampilan sulungnya.

Kemenangan turut memastikan anak buah Klopp kedudukan teratas Kumpulan D, dan membolehkan pengendali itu merehatkan bintangnya menjelang perlawanan terakhir kumpulan di Midtjylland minggu depan.

“Jujurnya, sejak saya di Liverpool, ini adalah malam Liga Juara-Juara yang paling besar.

“Tanpa penyokong di stadium, ia adalah perlawanan paling penting, paling sukar dan cukup luar biasa,” kata Klopp yang membawa Liverpool ke final sebanyak dua kali dan menjuarainya tahun lalu.

Kelleher terpaksa menggantikan Alisson Becker, yang menyertai senarai kecederaan Klopp sebelum sepak mula, manakala Andrew Robertson bermain dengan buku lali berbalut di babak pertama. Antara pemain Liverpool yang cedera dan tidak dapat beraksi ialah Virgil van Dijk, Joe Gomez, Alex Oxlade-Chamberlain, Naby Keita, Xherdan Shaqiri, Trent Alexander-Arnold dan James Milner. –AFP

Aksi Curtis semasa menjaringkan gol pada perlawanan menentang Ajax di Anfield awal pagi kelmarin. – AFP