Gol Dybala bantu Juve

MILAN, 11 NOV – Paulo Dybala meledak gol kemenangan membantu Juventus mengatasi AC Milan 1-0 selepas mengganti tempat Cristiano Ronaldo sekali gus membolehkan Juve terus kekal di puncak Serie A, manakala Lazio dan Cagliari turut melonjak kedudukan, pagi tadi.

Sayap Argentina, Dybala meledak jaring lawan pada minit ke-77 di Stadium Allianz selepas menggantikan Ronaldo 20 minit sebelum itu yang menyaksikan pemain Portugal itu kelihatan berang ketika meninggalkan padang.

Juventus kekal mendahului satu mata di depan skuad bimbingan Antonio Conte, Inter Milan yang turut melakar kemenangan mengatasi Verona 2-1, kelmarin.

Dalam pada itu, kekalahan ketujuh AC Milan dalam 12 perlawanan liga menyaksikan skuad bimbingan Stefano Pioli menjunam ke tangga ke-14 dan menghampiri zon penyingkiran.

Dalam pertemuan penting di Turin, Milan tidak memberi laluan mudah kepada Juventus.

Wojciech Szczesny terpaksa bekerja keras menafikan cubaan bahaya Krzysztof Piatek, Lucas Paqueta dan Hakan Calhanoglu.

Blaise Matuidi terlepas peluang keemasan Juventus pada babak pertama sebelum Dybala menyumbat gol kemenangan itu.

Pemenang lima anugerah Ballon d’Or, Ronaldo, yang turut dikeluarkan ketika saingan Liga Juara-Juara mengatasi Lokomotiv Moscow, dilihat meradang selepas dikeluarkan pada minit ke-55.

Douglas Costa juga turut digantikan dengan Federico Bernardeschi. – AFP

Reaksi Dybala ketika meraikan jaringan semasa perlawanan menentang AC Milan di Stadium Allianz, awal pagi kelmarin. – AFP