Gol fleck lonjak Sheffield

SHEFFIELD, ENGLAND, 15 DIS – John Fleck menjaringkan dua gol ketika Sheffield United mendaki tangga kelima dalam kedudukan carta liga perdana dengan menewaskan Aston Villa 2-0, kelmarin.

Selepas separuh masa pertama yang tidak membuahkan sebarang hasil, Fleck meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-50 selepas menerima assists dari John Lundstram.

Fleck menambah gol kedua dengan menyudahkan gerakan yang diciptanya pada minit ke-73, setelah mendapat hantaran akhir dari David McGoldrick dan menjaringkan gol dengan penuh yakin menewaskan penjaga gol Tom Heaton.

Pasukan Villa mempunyai peluang kembali ke permainan selepas VAR memberi sepakan penalti sejurus bola terkena tangan John Egan, tetapi sepakan Jack Grealish terkena palang gawang.

Sheffield melonjak ke atas dalam kedudukan liga mening-galkan Manchester United, Wolverhampton Wanderers dan Tottenham di tangga kelima, walaupun ketiga-tiga pasukan itu mempunyai peluang untuk memintas pasukan Chris Wilder hari ini.

Aston Villa berada di kedudukan yang terancam daripada slot penyingkiran, sekadar mengumpul 15 mata daripada 17 perlawanan. – AP

Pemain Sheffield United, John Fleck menjaringkan gol pertama untuk pasukannya semasa perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Sheffield United dan Aston Villa di Sheffield, England. – AP