Gol Higuain kukuhkan kedudukan Juve

MILAN, 9 Jan – Penyerang sensasi Gonzalo Higuain meledak gol dalam kedua separuh masa perlawanan bagi menambah jaringan yang dilakukan Paulo Dybala di separuh masa pertama, sekali gus meletakkan Juventus empat mata di atas Roma selepas menewaskan Bologna 3-0 di Turin, awal pagi tadi.

Pada perlawanan kompetitif pertama selepas tewas kepada AC Milan dalam aksi Piala Super Itali sebelum sambutan Krismas, kelab Juventus turun beraksi tanpa Gianluigi Buffon, Leonardo Bonucci, Dani Alves dan Patrice Evra untuk pertemuan dengan skuad Roberto Donadoni.

Kemenangan terakhir Bologna ke atas Juve adalah pada Februari 2011 dan harapan mereka untuk memberi saingan sengit jelas menemui jalan buntu apabila Higuain meledakkan jaringan pada minit ketujuh perlawanan.

Dybala menggandakan penguasaan Juve pada minit ke-41 dengan menyempurnakan sepakan penalti selepas Stefano Sturaro dikasari oleh Marios Oikonomou.

Ganzalo Higuain meraikan jaringannya dalam aksi Serie A antara Juventus dan Bologna di Stadium Turin. – AP
Ganzalo Higuain meraikan jaringannya dalam aksi Serie A antara Juventus dan Bologna di Stadium Turin. – AP

Higuain sekali lagi memusnahkan harapan pasukan lawan pada minit ke-55, sekali gus menambah jaringan peribadinya kepada 12 gol, hanya dua gol dibezakan dengan penjaring terbanyak ketika ini dari Inter Milan, Mauro Icardi.

Kemenangan itu turut meletakkan Juve kini mendahului Serie A dengan empat mata di hadapan Roma dan mereka masih mempunyai berbaki satu perlawanan dalam tangan.

Skuad Massimiliano Allegri kini memberikan tumpuan untuk perlawanan dengan Atalanta di Turin Rabu ini bagi mempertahankan gelaran Piala Itali. – AFP