PARIS, 13 Mac – Bekas bintang terbuang Manchester United, Memphis Depay merasa gembira dengan persaingannya dalam mendapatkan jaringan musim ini ketika pemain dari Belanda itu menjaringkan dua gol untuk melengkapkan kemenangan 4-0 Lyon untuk menewaskan Toulouse dalam Ligue 1.
Christophe Jallet dan Maxwel Cornet membolehkan pasukan Lyon menguasai permainan di Parc OL semalam sebelum Depay mencuri tumpuan dengan jaringan pada separuh masa kedua, satu jaringan dihasilkan di bulatan tengah padang.
Depay mendapatkan bola di bahagian tengah dan menewaskan seorang pemain pertahanan sebelum melepaskan sepakan tinggi yang menewaskan penjaga gol Toulouse, Alban Lafont bagi gol keempatnya dalam tiga perlawanan.
“Ia adalah menakjubkan untuk saya menjaringkan gol seperti itu. Saya telah mencuba seperti itu beberapa tahun lalu dan ia mengenai palang,” kata Depay.
“Saya merasa gembira, ia adalah jaringan luar biasa. Saya merasa gembira dengan kemenangan ini.”

Pemain itu, 23, yang menyertai Lyon dari United pada Januari lalu selepas jarang beraksi ketika berada di bawah kendalian Jose Mourinho, mengakui memerhatikan kecenderungan Lafont jauh meninggalkan gawangnya.
“Saya nampak penjaga gol keluar dari garisannya pada separuh masa pertama dan saya mengingatinya,” Depay memberitahu Canal+.
“Kemudian saya mendapatkan bola dan saya berpusing dan melepaskan rembatan. Saya tidak melihat bola menerjah gawang, tetapi saya hanya mendengarkan semua orang dalam meraikannya.”
Jurulatih Lyon, Bruno Genesio menyaksikan pasukannya mengukuhkan kedudukan mereka di tangga keempat berikutan kemenangan keempat mereka berturut-turut, tetapi ia adalah jaringan mengejut Depay yang telah menarik perhatian. – AFP