Gol ke-99 CR7 bantu Portugal

PARIS, 18 NOV – Cristiano Ronaldo menjaringkan gol antarabangsa ke-99 ketika juara bertahan, Portugal mengesahkan tempat ke pusingan akhir Euro 2020 sebentar tadi dengan kemenangan 2-0 mengatasi Luxembourg.

Bruno Fernandes meledak gol pembukaan pada minit ke-39 sebelum Ronaldo menambah gol kedua pada lewat permainan untuk kedudukan kedua Kumpulan B di belakang juara Ukraine, yang seri 2-2 di Serbia.

Penyerang Iran, Ali Daei memegang rekod dunia dengan 109 gol antarabangsa dijaringkan dalam 149 penampilan antara 1993 dan 2006.

“Semua rekod mesti dipecahkan dan saya akan memecahkan rekod itu,” kata Ronaldo.
Portugal menjadi negara ke-17 layak ke kejohanan berkenaan yang akan melakukan sepak mula di Rom pada 12 Jun dan menyertai pasukan lain seperti juara dunia, Perancis, Sepanyol, Itali dan England.

“Kami tidak boleh beri markah tinggi untuk gaya bagi perlawanan ini,” kata jurulatih Portugal, Fernando Santos yang mengakui padang basah menjadikan ia mencabar buat pasukannya.
“Saya gembira buat pemain saya kerana kempen kelayakan menjadi lebih sukar daripada apa yang kami jangkakan.

“Kami mara ke pusingan akhir kejohanan utama untuk kali ke-11 berturut-turut. Anda perlu percayakan pemain ini.” – AFP

Reaksi Ronaldo (kiri) selepas mencetak gol pada perlawanan menentang Luxembourg di Stadium Josy Barthel, Luxembourg, kelmarin. – AP