PARIS, 8 Feb – Lucas menjaringkan gol kontroversi di saat-saat akhir ketika Paris Saint-Germain (PSG) menewaskan Lille 2-1 awal pagi tadi, untuk kekal tiga mata di belakang Monaco selepas pendahulu Ligue 1 itu menang dengan jaringan yang sama di Montpellier.
Edinson Cavani telah mencatatkan golnya ke-23 musim ini bagi memberikan pendahuluan kepada juara bertahan itu di minit ke-70 di Parc des Princes.
Kesilapan besar daripada Alphonse Areola telah membolehkan Nicolas de Preville menyamakan kedudukan dengan perlawanan berbaki empat minit, tetapi Lucas memastikan tiga mata penting bagi PSG dalam masa kecederaan meskipun sebenarnya dia berada di kedudukan ofsaid.
“Kami tidak pernah berputus asa meskipun dibolosi satu gol beberapa minit sebelum wisel akhir perlawanan. Kami terus berjuang dan mampu menjadi pemenang,” kata Lucas.
Bos Lille, Patrick Collot mengakui merasa ‘sangat kecewa’ dan meminta teknologi video untuk membantu para pengadil dalam situasi-situasi seperti itu.

“Itu adalah ragam bola sepak dan ia akan berterusan seperti itu sehingga adanya video bagi membantu para pengadil,” kata Collot.
Selepas pasukannya menjaringkan dua kali dalam 10 minit terakhir dalam kemenangan 3-1 ke atas Dijon minggu lepas, pasukan Unai Emery sekali lagi mendapat kemenangan di saat akhir.
Areola membuat penyelamatan pantas bagi menghalang tandukan Franck Beria, sementara PSG bergelut untuk menterjemahkan penguasaan menjadi pendahuluan apabila Vincent Enyeama menyelamatkan percubaan Angel Di Maria ketika perlawanan memasuki satu jam.
Tetapi Cavani akhir berjaya menembusi kekentalan Lille apabila dia memanfaatkan sepakan percuma menerusi tandukan ke sudut gawang.
Lille kelihatan membawa pulang satu mata apabila Areola hilang kawalan bola ketika diasak oleh Eric Bautheac, dan pemain gantian, De Preville dengan mudah mendapatkan gol penyamaan.
Namun, Lucas menendang kencang bola dari jarak dekat di masa kecederaan selepas percubaan awal Cavani ditampan pertahanan dalam petak Lille yang huru-hara. – AFP