Gol Lobete julang Sociedad di tangga teratas

MADRID, 17 OKT – Real Sociedad memintas Real Madrid untuk berada di tangga teratas La Liga selepas meledak gol minit akhir penuh dramatik untuk menumpaskan Real Mallorca walaupun beraksi separuh daripada perlawanan dengan 10 pemain.

Julen Lobete melepaskan rembatan di dalam petak penalti pada minit ke-90 untuk membantu kelabnya mencatatkan kemenangan 1-0 sekali gus mencetuskan suasana luar biasa di Arena Reale, di mana penyokong dan pemain meraikannya seperti sudah memenangi trofi.

“Saya menangis kegembiraan. Saya tidak boleh menggambarkannya,” kata Lobete.

Dalam suasana penuh kegembiraan selepas wisel penamat, pemain Sociedad turut menayangkan trofi Copa del Rey, yang dimenangi awal tahun ini dalam aksi final tertangguh menentang seteru Basque, Athletic Bilbao di depan penyokong mereka buat kali pertama.

“Pemain ini tidak mempunyai cita-cita atau percaya diri sendiri tapi apabila mendapat sokongan padu dari penyokong seperti ini di Arena Reale, ia menjadi lebih mudah.

Aksi Pablo Maffeo (kiri) bergelut mendapatkan bola dengan penyerang Julen Lobete semasa perlawanan di antara Real Sociedad dan RCD Mallorca di Stadium Anoeta di San Sebastian pada 16 Oktober. – AFP

“Kami mampu untuk meraikan bersama mereka, menunjukkan mereka trofi dan merasai nikmat ini bersama mereka. Kami tahu mereka sayangkan pemain dan begitu juga pemain kepada penyokong,” kata jurulatih, Imanol Aguacil.

Tatkala Real Madrid bakal berdepan Barcelona dalam aksi Clasico pertama Ahad depan, pertembungan Sociedad di tempat lawan dengan penyandang juara, Atletico Madrid bakal menjadi perebutan untuk tangga teratas liga.

Atletico sekarang ini ketinggalan tiga mata di belakang La Real.

“Ia permulaan yang baik namun kami tidak boleh terhenti di sini. Kami harus terus dengan cara sebegini,” kata Aguacil.

Dengan Real Madrid dan Atletico tidak beraksi dalam perlawanan hujung minggu ini kerana memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa di Amerika Selatan, Sociedad tahu mereka boleh menduduki tempat pertama menerusi kemenangan ke atas Mallorca. – AFP