Gol Martial beri kelebihan buat United

BRUGES, 21 FEB – Anthony Martial mencetak nama selaku penjaring dalam perlawanan yang berkesudahan 1-1 di antara Manchester United dan Club Brugge, dalam perlawanan piala Europa pusingan pertama kelompok 32.

Gol Martial tersebut memberikan kelebihan gol di tempat lawan buat United.

Penyerang Nigeria, Emmanuel Dennis menyepak bola melimpasi penjaga gawang United, Sergio Romero, dari jarak 30 meter untuk meletakkan pendahulu liga Belgium, Club Brugge di hadapan pada minit ke-15, di Breydelstadion.

Martial kemudian berjaya menyamakan kedudukan buat United sebelum separuh masa pertama tamat, dengan larian yang baik setelah pertahanan Club Brugge, Brandon Mechele melakukan kesilapan dan melakukan penyudah yang tenang melepasi gawang Club Brugge.

“Ini merupakan perlawanan yang susah buat kami menentang pasukan yang begitu tersusun, dengan keadaan yang sukar. Saya tidak rasa ini salah satu perlawanan terbaik kami yang pernah disaksikan,” menurut ketua jurulatih United, Ole Gunnar Solskjaer.

“Kami melakukan sedikit kecuaian dari segi konsentrasi tetapi keadaan padang dan bola menambahkan lagi kesukaran untuk kami. Kami memperoleh jaringan di tempat lawan, keputusan seri dan minggu hadapan kami akan bermain di tempat sendiri. Kami berharap dapat menewaskan mereka.”

Solskjaer telah membuat enam perubahan kepada pasukan kendaliannya yang berjaya menewaskan Chelsea Isnin lalu, dengan menurunkan Romero selaku penjaga gawang dan Victor Lindelof kembali dari demam untuk melengkapkan set tiga pertahanan United bersama Harry Maguire dan Luke Shaw. Manakala pemain terbaharu United, Odion Ighalo memulakan perlawanan dari bangku simpanan. – AFP

Aksi pemain United, Anthony Martial, cuba mengasak bola ke kubu pertahanan Club Brugge di saingan Liga Europa, Khamis lalu. – AP