LIVERPOOL, 18 MAC – Jaringan Alex Iwobi pada minit ke-99 membawa Everton tiga mata keluar daripada zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris selepas mencatat kemenangan dramatik 1-0 ke atas Newcastle, kelmarin.
Permainan semasa separuh masa kedua terganggu disebabkan seorang pembantah mengikat dirinya di gawang gol dan tinjauan VAR yang membawa kepada Allan dilayangkan kad merah menyebabkan masa tambahan dilanjutkan 14 minit di Goodison Park.
Namun pasukan yang beraksi dengan 10 pemain berjaya mengambil kesempatan selepas Dominic-Lewin membuat hantaran kepada Iwobi untuk menjaringkan gol terpenting dalam kariernya bersama Everton sejak perpindahan 40 juta pound dari Arsenal tiga tahun lalu.
Kemenangan kedua daripada 12 perlawanan menyebabkan keraian besar-besaran pada tamat perlawanan.
Apabila jadual perlawanan ditunda pada lewat Disember disebabkan penularan koronavirus, ketika itu Newcastle berada di kedudukan tercorot liga.
Walau bagaimanapun, kekalahan The Magpies ke atas Chelsea pada Ahad adalah yang pertama dalam 10 perlawanan selepas pelaburan pemilik kelab dari Arab Saudi memberikan kesan segera dalam jendela perpindahan pertama mereka.
Bekas pemain pertahanan Liverpool, Jamie Carragher, peminat sejati Everton, menyifatkan perlawanan itu sebagai yang terbesar buat The Toffees dalam tempoh 20 tahun memandangkan risiko penyingkiran.
Kelab itu dalam proses membangunkan stadium baharu bernilai 500 juta pound, yang bakal siap sepenuhnya pada 2024, dan sudah kehilangan penaja jutawan Rusia, Alisher Usmanov selepas dia dikenakan sekatan oleh kerajaan United Kingdom.
Ini merupakan perlawanan kesembilan buat Lampard yang mengambil alih tugasan tetapi 11 perlawanan seterusnya bakal menjadi penentu kepada karier pengurusannya.
Permulaan baik buat pasukan tuan rumah tidak kekal lama selepas Newcastle menguasai perlawanan pada separuh masa pertama tanpa mencipta banyak peluang baik. – AFP