MILAN, 20 Jan – Permainan hebat Radja Nainggolan telah menjadikan tumpuan apabila AS Roma menempah perlawanan suku akhir Piala Itali menentang pasukan divisyen kedua, Cesena, apabila membelasah Sampdoria 4-0 awal pagi tadi.
Meskipun Luis Muriel menggegarkan palang gol di awal perlawanan bagi Sampdoria, voli sensasi Leandro Peredes juga menemui nasib yang sama di bahagian sebelah dan menjadi petanda bahawa banyak lagi yang perlu dijangka daripada skuad Luciano Spalleti.
Penjaga gol Samp, Christian Puggioni melakukan tugas yang baik apabila menepis keluar satu lagi rembatan Paredes, tetapi penjaga gol itu tidak dapat berbuat apa-apa apabila Nainggolan mendapatkan bola hasil sentuhan lemah Matias Silvestre bagi membuat penyudah voli dari luar petak ke sudut atas gawang sebelum separuh masa pertama berakhir.

Dua minit selepas perlawanan disambung, El Shaarawy berjaya merampas bola dan membuat hantaran kepada Edin Dzeko untuk menewaskan Puggioni bagi jaringan kedua Roma.
Gol ketiga Roma pula dihasilkan oleh El Shaarawy apabila menerima hantaran jarak jauh daripada Dzeko, melepasi pemain yang menjaganya dan membuat sepakan melambung menewaskan Puggioni.
Diego Perotti membuat aksi kembali selepas kecederaan dengan satu hantaran lintang kepada Nainggolan, yang menanduk masuk untuk jaringan keempat Roma. – AFP
































