Gol Ocampos julang Sevilla

PARIS, 12 OGOS – Sevilla mara ke pusingan separuh akhir Liga Europa kelmarin selepas tandukan minit akhir Lucas Ocampos telah mengecewakan Wolverhampton Wanderers, sementara Shakhtar Donetsk berjaya menundukkan Basel 4-1 untuk menyertai pasukan dari Sepanyol itu ke pusingan separuh akhir.

Pemenang lima kali kejohanan, Sevilla akan berdepan Manchester United di Cologne pada Ahad hasil daripada tandukan dari pemain Argentina, Ocampos ketika perlawanan hanya berbaki beberapa minit dan telah menghadiahkan mereka kemenangan berharga 1-0, manakala Shakhtar akan bertemu Inter Milan pada Isnin.

Sevilla mendominasi lawan mereka dari England hampir sepanjang perlawanan, dengan pasukan Wolves yang nampak keletihan terpaksa menyerah kalah dengan impian mereka untuk menjulang kejuaraan Eropah selepas kekalahan itu.

“Saya sangat berbangga ke atas pemain-pemain saya. Kami memerlukan banyak kesabaran menentang pasukan yang sa-ngat bagus,” kata ketua jurulatih Sevilla, Julen Lopetegui, di mana pasukannya kini 19 perlawanan tanpa kalah dalam kesemua kejohanan, memberitahu BT Sport.

“Kami mempunyai cita-cita, kami bekerja keras tetapi kami akan bermain menentang Manchester United, pasukan terbesar di dunia bola sepak.”

Pasukan Liga Perdana Inggeris, Wolves merasakan mereka telah membuat permulaan dengan sempurna pada minit ke-11 semasa Adam Traore membuat larian dari kawasan mereka sendiri dan kemudian dijatuhkan oleh Diego Carlos dalam kotak penalti. Walau bagaimanapun, Raul Jimenez, yang menjaringkan kesemua lapan sepakan penalti sebelum ini, membuat sepakan yang lemah menuju tepat ke arah Yassine Bounou, yang menampan bola sepakan pemain Mexico. – AFP

Reaksi Lucas Ocampos meraikan gol kemenangan di Liga Europa menentang Wolves. Jaringan Ocampos telah melayakkan Sevilla mara ke pusingan separuh akhir kejohanan. – AP