SEOUL, 14 JULAI – Pemain kegemaran tempatan, Son Heung-min menggembirakan peminat Korea Selatan dengan menjaringkan dua gol ketika Tottenham Hotspur menewaskan pasukan pilihan Liga K 6-3 dalam aksi persahabatan pramusim di Seoul kelmarin.
Pemenang Kasut Emas Liga Perdana Inggeris, Son dan kapten pasukan, Harry Kane, yang menjaringkan dua gol, kedua-duanya hanya beraksi pada separuh masa kedua ketika pengurus Antonio Conte menurunkan semua pemain skuad penuhnya dalam perlawanan pramusim pertama mereka.
Setiap aksi yang dipamerkan oleh Son dan Kane disambut meriah oleh sebanyak 64,000 orang penonton di Stadium Piala Dunia Seoul, termasuklah aksi kedua-dua pemain itu memanaskan badan di garisan tepi padang pada separuh masa pertama.
“Perlawanan dimeriahkan dengan sokongan penonton dan persembahan yang menakjubkan,” kata Son selepas membuat larian penghormatan kepada peminat sejurus wisel penamat.
“Ini merupakan perlawanan pertama kami pada musim ini, jadi saya sangat gembira dengannya dan bersyukur meskipun permainan berlangsung dalam cuaca hujan. Saya amat menikmatinya.”
Pemain pertahanan Spurs, Eric Dier membuka tirai jaringan dengan rembatan kaki kiri yang kencang pada minit ke-29.
Pasukan K-League menyamakan kedudukan menerusi tandukan Cho Gue-sung untuk menjadikan kedudukan 1-1 pada separuh masa sebelum perlawanan dihujani dengan jaringan gol selepas babak pertama.
Spurs memulakan perlawanan dengan menurunkan pemain baharu mereka dari Everton, Richarlison, dan selepas 45 minit pertama yang meriah, pemain Brazil itu disertai oleh kapten pasukan, Kane. – AFP