Goldman Sachs didenda AS$350 juta di HK

HONG KONG, 22 OKT – Syarikat kewangan Global, Goldman Sachs Group Inc hari ini didenda AS$350 juta oleh pengawas sekuriti Hong Kong kerana peranannya dalam skandal rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang terbaharu dalam senarai hukuman global yang dihadapi oleh firma itu.

Goldman Sachs Asia – pusat pematuhan dan kawalan syarikat yang berpusat di Hong Kong – menunjukkan ‘kelemahan dan kekurangan serius dalam penyeliaan pengurusan, risiko, pematuhan dan kawalan antipencucian wang’, kata Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan (SFC) Hong Kong.

Pengawal selia itu menambah, Goldman telah menerima dapatan SFC, yang membawa kepada penyelesaian awal tindakan disiplin.

SFC mengatakan bahawa kegagalan Goldman menyumbang kepada penyalahgunaan AS$2.6 bilion dari AS$6.5 bilion yang diperoleh 1MDB dalam tiga penawaran bon pada 2012 dan 2013.

“Goldman Sachs Asia gagal mematuhi standard yang diharapkan dari perantara berlesen dalam kes 1MDB dan tidak hanya mengalami kerosakan reputasi dari kegagalannya sendiri, tetapi juga memburukkan lagi nama industri sekuriti,” kata Pengarah Eksekutif Penguatkuasaan SFC, Thomas Atkinson.

Gambar fail ibu pejabat Goldman Sachs pada 17 April 2019 di Bandar raya New York. – AFP

Goldman Sachs Asia menerima AS$210 juta – atau 37 peratus daripada jumlah pendapatan – dari penawaran bon 1MDB, merupakan bahagian terbesar di antara pelbagai entiti Goldman Sachs.

Siasatan SFC menyimpulkan bahawa Goldman Sachs Asia membenarkan penawaran itu diteruskan walaupun banyak kesalahan tidak diteliti dan dijawab dengan betul.

Penipuan itu membabitkan bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak dan kroninya, dan wang tunai yang diperoleh digunakan untuk perbelanjaan bermewah di seluruh dunia.

Pengumuman Hong Kong itu muncul dua hari selepas Wall Street Journal melaporkan Goldman sedang bersiap untuk mengakui kesalahan dalam skandal 1MDB dan membayar kerajaan Amerika Syarikat (AS) sebanyak AS$2.8 bilion.

Kesepakatan itu akan menamatkan siasatan jenayah terhadap kes rasuah yang membabitkan dana pelaburan kerajaan Malaysia, lapor akhbar itu, memetik sumber yang mengetahui perkara itu. – AFP