Goldman Sachs mengaku tidak bersalah tuduhan terbitan bon 1MDB 

KUALA LUMPUR, 24 FEB – Wakil Goldman Sachs International Ltd, yang berpangkalan di United Kingdom dan entitinya di Asia, Goldman Sachs (Asia) LLC dan Goldman Sachs (Singapura) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini berhubung terbitan bon 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM27.2 bilion (AS$6.5 bilion).

Wakil syarikat itu, Ng Keng Leong membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah semasa pengurusan kes itu hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Zaki Asyraf Zubir, Norinna Bahadun, Aaron Chelliah dan Mohamad Mustaffa P. Kunyalam mewakili pihak pendakwaan, manakala peguam Hisyam Teh Poh Teik, Krishna Dallumah, Datuk Prem Ramachandran dan Chetan Jethawani mewakili Goldman Sachs.

Zaki Asyraf  memohon semua pertuduhan terhadap ketiga-tiga entiti itu dibicarakan bersama dan beliau juga memberitahu mahamah pihak pendakwaan akan memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh perbicaraan pada 9, 10, 11, 12,  dan 13 November tahun ini; 4, 5, 6, 7 dan 8 Januari 2021; 15, 16, 17, 18, 19, 22, 23, 24, 25 dan 26 Februari; 8, 9, 10, 11, 15, 16, 17 dan 18 Mac serta 5, 6, 7, 8, 12, 13, 14 dan 15 April. Mahkamah juga menetapkan 18 Mei untuk pengurusan kes. – Bernama