Goldman Sachs setuju bayar AS$3.9 bilion tuntutan tertunggak 1MDB

KUALA LUMPUR, 24 JULAI – Goldman Sachs Group Inc. bersetuju untuk membayar sebanyak AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion) bagi penyelesaian tuntutan tertunggak berkaitan dengan tiga urus niaga bon yang telah disusun dan diatur oleh Goldman Sachs untuk syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kementerian Kewangan (MOF) berkata dengan jumlah penyelesaian ini dan wang yang telah diterima oleh Malaysia daripada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, lebih daripada AS$4.5 bilion akan dikembalikan kepada rakyat Malaysia.

“Sehubungan itu, kerajaan terus komited untuk mendapatkan semula aset-aset lain yang masih belum dikembalikan,” demikian menurut kementerian berkenaan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Kementerian Kewangan berkata penyelesaian berkenaan merangkumi pembayaran tunai sebanyak AS$2.5 bilion dan jaminan untuk pengembalian penuh berjumlah sekurang-kurangnya AS$1.4 bilion dari segi aset yang berkait dengan hasil yang telah diseleweng melalui tiga urus niaga bon tersebut.

Goldman Sachs, atas biayanya sendiri, juga akan membantu kerajaan Malaysia dalam melantik pakar pemulihan aset untuk mendapatkan kembali aset lain yang kini berada di luar Malaysia. – Bernama