Golf amal Pusat Ehsan kembali lagi

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Perlawanan Golf Amal Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) kini kembali lagi buat kali ke-18 yang akan diadakan di Kelab Golf Penerbangan Diraja Brunei (RBGC), Berakas.

Perlawanan golf amal tersebut akan dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula pada 29, 30 dan 31 Mac depan yang akan menyaksikan lebih 250 orang pemain golf tempatan dan luar negara akan berentap bagi merebut The Patron’s Challenge Trophy.

Perkara ini dinyatakan oleh pengerusi perlawanan, Awang Seruji bin Haji Setia pada sidang media Perlawanan Golf Amal Pusat Ehsan kali ke-18 di RBGC, petang tadi.

Kejohanan tersebut dijalankan berdasarkan ‘System 36 (Stroke Play)’ bagi nett dan gross. Walau bagaimanapun bagi 12 pemain teratas gross, mereka akan berpeluang sekali lagi bagi menyertai acara Special Sunday Gross yang akan dijalankan secara percuma untuk bertanding bagi mendapatkan trofi cabaran.

Para peserta juga berpeluang untuk memenangi hadiah yang menarik seperti wang tunai dan sebagainya bagi mereka yang mendapat hole-in-one di lubang yang tertentu manakala para peserta turut berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah dan lainnya seperti mereka yang mendapat bulls eyes dan Putts Stop Challenge.

Semasa sidang media berkenaan beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada CityNeon atas sokongan dalam menjayakan perlawanan kali ini dan juga kepada rakan kongsi acara berkenaan iaitu pihak Borneo Bulletin dan Media Permata selaku penyokong media cetak eksklusif bagi perlawanan tersebut.

Yuran pendaftaran bagi kejohanan berkenaan adalah termasuk sarapan, makan tengah hari dan bugi, yang mana borang penyertaan bolehlah didapatkan di RBGC atau memuat turun borang berkenaan di laman web Pusat Ehsan.

Awang Seruji ketika memberi penerangan semasa sidang media, kelmarin.