Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Ogos – Kejohanan Golf Amatur Terbuka Antarabangsa 2018 bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-72 tahun akan diadakan pada hujung bulan ini.
Perkara ini dinyatakan oleh Pengerusi Bersama Bahagian Kejohanan Golf, Haji Abdul Aziz bin Mohd Kassim dalam sidang media yang berlangsung di Royal Brunei Golf & Country Club (RBGCC), Jerudong, di sini, hari ini.
Kejohanan ini akan diadakan selama tiga hari berturut-turut bermula pada hari Jumaat 31 Ogos 2018 pada sebelah pagi sahaja, Sabtu, 1 September pada sebelah pagi dan petang sementara hari Ahad, 2 September 2018 pada sebelah pagi manakala upacara penyampaian hadiah pula akan diadakan pada hari yang sama sejurus selepas kejohanan selesai.
Dalam kejohanan yang bakal diadakan di Royal Brunei Golf & Country Club ini dibahagikan kepada beberapa kategori yang terdiri daripada Division A – Handicap 0-9; Division B – Handicap 10-18, Division C – Handicap 19-24; Division Senior – 55 tahun ke atas; Division Wanita – Handicap 0-36.
Beberapa hadiah menarik juga disediakan iaitu trofi rebutan bagi Overall Gross Challenge (Lelaki) dan Trofi Overall Gross Challenge (Wanita) yang disumbangkan oleh ASAFF Group beserta hadiah wang tunai.

Selain itu, bagi pemenang-pemenang Hole-in-One juga bakal menerima hadiah tajaan yang menarik yang terdiri dari Lubang #3 – BMW 3 Series ditaja secara persendirian oleh Lim Han Chiong, Lubang #16 – BMW X1 ditaja oleh QAF Auto Sdn Bhd manakala Lubang #8 dan #13 pula masing-masing bakal menerima wang tunai sebagai hadiah.
Kejohanan ini menggunakan sistem ‘Stroke Play’ dan pemain hendaklah menyatakan handicap yang sah mengikut kelab masing-masing.
Yuran bagi setiap pusingan yang diikuti oleh peserta ialah $100 bagi ahli RBGCC manakala $120 bagi bukan ahli RBGCC dan seorang pemain juga dibolehkan untuk mengikuti kejohanan lebih dari satu pusingan.
Borang penyertaan boleh didapati di kelab-kelab golf tempatan dan negara-negara jiran dan bagi keterangan lanjut bolehlah menghubungi pihak RBGCC.
Sejurus selepas sidang media diadakan, penandatanganan perjanjian di antara pihak penganjur dengan penaja-penaja juga diadakan.
Mula-mula penandatanganan di antara QAF Auto Sdn Bhd yang diwakili oleh Ketua Selepas Jualan, Pengiran Shahrulzaman bin Pengiran Haji Abdul Rahman bagi tajaan sebuah kereta BMW X1 diikuti dengan penandatanganan bersama Lim Han Chiong yang menaja secara persendirian BMW 3 Series.
Bagi pihak penganjur pula ditandatangani oleh Haji Abdul Aziz sambil disaksikan oleh ahli-ahli jawatankuasa kejohanan tersebut.