Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jan – Seramai 16 orang pemain golf pendatang baru teratas Korea berusia dari lingkungan umur 17 hingga 26 tahun telah memulakan permainan mereka dalam Kejohanan Golf Rookie Korean Pro-Golfing Association (PGA) yang berlangsung ketika ini bermula pada 6 Januari lepas hingga 10 Januari depan bertempat di Empire Hotel & Country Club, Jerudong.
Para pemain golf berkenaan akan bersaing antara satu dengan yang lain bagi merangkul gelaran juara pada kejohanan yang dikendalikan oleh Sinar Tour yang turut disokong oleh Pelancongan Brunei dan Empire Hotel & Country Club.
Kejohanan Golf Rookie Korean PGA diadakan setiap tahun di lokasi berlainan seluruh dunia termasuk di Phoenix Golf Resort di Vietnam, Nexus Golf Resort Karambunai di Kota Kinabalu dan Dynasty Golf & Country Club di Thailand. Kini tiba masanya ia diadakan di Negara Brunei Darussalam di Padang Golf Empire Hotel & Country Club, Jerudong.
Presiden Sinar Tour Sdn Bhd, James Park ketika ditemu bual turut memberitahu pihak Media Permata bahawa seramai 31 orang iaitu 16 orang pemain dan 15 orang krew dari Korea Selatan kini berada di Negara Brunei Darussalam dalam menjayakan kejohanan pada kali ini yang diharap dapat menonjolkan negara ini sebagai destinasi pelancongan sukan yang patut dikunjungi.
Penggambaran bagi kejohanan ini dirakam oleh salah sebuah saluran golf yang berpangkalan di Korea, Joongang Television Broadcasting Cooperation (JTBC) Golf & Moneytoday TV yang mana akan ditayangkan di saluran televisyen di Korea Selatan.
Pada hari pusingan percubaan dijalankan, keadaan cuaca di padang golf dalam keadaan lembap akibat turunan hujan yang berlanjutan pada malam sebelumnya, namun para peserta rata-rata tetap memuji kualiti dan keindahan padang golf di Empire Hotel & Country Club.
Sementara itu, ketua pemain golf rookie Korea, Dae Sik Sim, 26, ketika ditemu bual mengatakan bahawa beliau sangat berbesar hati dan berbangga bermain di salah sebuah padang golf terbaik dunia dan sepastinya ingin kembali bermain lagi di padang golf ini di masa yang akan datang.
Kejohanan ini merupakan salah satu inisiatif yang dilakukan oleh Sinar Tour bersama Pelancongan Brunei dan Empire Hotel & Country Club bagi mempromosikan padang golf Empire Hotel & Country Club yang berkelas dunia di Korea Selatan.