Golongan 18-23 tahun lebih arif menabung

SINGAPURA, 22 SEPT – Satu tinjauan yang dijalankan oleh laman sesawang kewangan peribadi SingSaver mendapati warga Singapura Gen Z, yang berusia di antara 18 dan 23 tahun, adalah lebih arif berbanding teman milenia mereka, yang berusia di antara 24 dan 39 tahun, apabila ia membabitkan tabiat menabung.

Menurut satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan hari ini, tinjauan itu menganalisis 1,000 respons daripada dua demografi ini di seluruh Singapura untuk memahami lebih baik tabiat menabung mereka, tabiat melabur serta pengetahuan kewangan.

Ia mendapati 85 peratus daripada golongan Gen Z mula menabung sebelum umur 22 tahun, sementara 41 peratus milenia Singapura melakukan yang sama. Ia juga mendapati warga Singapura yang lebih muda mempunyai keazaman yang lebih kuat apabila ia membabitkan bajet, tatkala 65 peratus Gen Z berkata mereka ‘sering’ dan ‘selalu’ berpegang pada bajet mereka, berbanding dengan 56 peratus milenia.

Selain itu, tinjauan mendapati 80 peratus daripada Gen Z dan milenia Singapura berkata mereka melabur, namun enam dalam sepuluh responden berkata mereka ‘adalah baharu’ atau ‘mempunyai pengetahuan asas’ untuk melabur.

Tiga produk pelaburan teratas yang dipilih oleh Gen Z dan milenia untuk melabur adalah bon atau saham, harta tanah dan dana bersama, yang dipilih oleh 59 peratus, 41 peratus dan 35 peratus responden masing-masing.

Sementara itu, 57 peratus daripada responden berkata mereka masih menggunakan akaun simpanan asas.

“Dalam menghadapi era pemulihan akibat virus, adalah penting untuk warga Singapura memiliki kesedaran dari segi kewangan tatkala mereka menyesuaikan diri dalam persekitaran baharu,” kata Prashant Aggarwal, Ketua Pegawai Komersial, CompareAsiaGroup dan pengurus sementara SingSaver. – Xinhua