Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 14 Jun – Seramai 794 orang anak yatim di Daerah Tutong telah menerima sumbangan derma daripada Tabung Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Tabung Kebajikan Anak-Anak Yatim Daerah Tutong dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) pada majlis yang berlangsung di Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong, di sini, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyampaikan derma tersebut ialah Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain.
Mereka yang menerima derma tersebut merupakan anak-anak yatim yang berusia 18 tahun ke bawah yang telah berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Masyarakat.
Sumbangan berkenaan antara lain bertujuan untuk menampung perbelanjaan anak-anak yatim bagi sama-sama menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.
Terdahulu itu, majlis dimulakan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah yang dipimpin oleh Imam Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong, Awang Sahibol Omar bin Haji Mohd Yussof.
Majlis seterusnya turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada anak-anak yatim yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan GCE ‘A’ Level, GCE ‘O’ Level, Penilaian Sekolah Rendah (PSR) dan Peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama bagi Daerah Tutong yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Turut hadir di majlis tersebut ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung Daerah Tutong.