Golongan asnaf tidak dilupakan

Oleh Ak Zaki Kasharan

TUTONG, 30 APRIL – Pada bulan suci Ramadan yang mubarak ini, kebajikan para asnaf dan golongan yang kurang berkemampuan tidak sesekali dilupakan malah turut dibantu bagi sama-sama merasakan kegembiraan dalam menjalani ibadah puasa terutamanya ketika menjelangnya waktu berbuka puasa.

Ke arah itu, Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sinaut dan Jawatankuasa Takmir dan Belia Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel Kiudang, hari ini, telah mengadakan majlis agihan sumbangan barangan asasi kepada 13 orang asnaf dan warga yang kurang berkemampuan.

Hadir bagi menyempurnakan penyampaian sumbangan bantuan berkenaan yang berlangsung di Kampung Sinaut ialah Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong, Haji Masri bin Haji Mohamad dan Pemangku Ketua Kampung Sinaut dan Kampung Sungai Kelugus, Haji Ismail bin Haji Mohamad.

Sementara itu di Kampung Kiudang, agihan bantuan telah disampaikan oleh wakil Belia Masjid, Awang Khairul Lizam bin Jefri dan Imam Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Kiudang, Haji Mahri bin Haji Metussin.

Majlis antara lain bertujuan bagi memeduli mereka yang memerlukan dalam mengharungi kehidupan seharian di samping membantu golongan asnaf dan yang kurang berkemampuan mendapatkan barang keperluan asasi harian tanpa perlu keluar ke kedai-kedai terutamanya pada ketika penularan wabak COVID-19 ini.

Aktiviti berkenaan turut dihasratkan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan ahli jawatankuasa takmir dan belia masjid.

Sumbangan berupa barangan keperluan harian tersebut dikumpulkan hasil daripada sumbangan orang-orang persendirian yang berkesudian menghulurkan bantuan selain turut diperolehi daripada hasil bayaran fidyah yang diberikan oleh pihak perseorangan.

Pengagihan sumbangan barangan asasi kepada 13 orang asnaf dan warga yang kurang berkemampuan.