Golongan berisiko perlu lebih waspada

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT– Kajian menunjukkan bahawa penularan jangkitan COVID-19 yang berpunca daripada virus SARS-Cov-2 mudah tersebar melalui titisan pernafasan dan sentuhan.

Ke arah itu, adalah penting untuk mengamalkan langkah-langkah kawalan seperti penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Kes-kes jangkitan yang dikenal pasti setakat ini, menunjukkan bahawa terdapat kemungkinan penyebaran jangkitan daripada individu kepada individu yang lain pada peringkat awal jangkitan iaitu apabila gejala jangkitan masih ringan atau tidak dapat dikesan secara khusus.

Walaupun bukti menunjukkan bahawa kebanyakan kes jangkitan iaitu kira-kira 80 peratus daripadanya mengalami gejala ringan tetapi terdapat sebahagian kecil kes jangkitan boleh mengakibatkan komplikasi radang paru-paru teruk di mana ia boleh membawa maut.

Dalam hubungan itu, menurut garis panduan bagi kumpulan yang berisiko tinggi semasa pandemik COVID-19 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, menyatakan bahawa kumpulan yang berisiko tinggi mendapat komplikasi daripada jangkitan COVID-19 perlu mengamalkan langkah-langkah pencegahan termasuk mematuhi langkah penjarakan sosial, mengelakkan sapaan secara fizikal, memakai pelitup muka di tempat-tempat yang diperlukan, kerap membasuh tangan atau menggunakan pensanitasi tangan serta mengamalkan etika batuk yang betul dan menjaga kebersihan diri.

Kumpulan-kumpulan yang berisiko tinggi untuk mendapatkan komplikasi adalah mereka yang berusia 70 tahun atau lebih iaitu tanpa mengira masalah kesihatan dan mereka yang berusia 70 tahun ke bawah dan mengalami masalah kesihatan seperti penyakit pernafasan yang kronik iaitu penyakit pulmonari, obstruktif kronik, emfisema atau bronkitis, penyakit asma yang tidak terkawal atau teruk, penyakit jantung seperti kegagalan jantung, tekanan darah tinggi, strok, penyakit kencing manis atau diabetes, penyakit buah pinggang kronik, penyakit hati kronik seperti hepatitis dan keadaan neurologi kronik seperti penyakit Parkinson, penyakit Motor Neuron, penyakit Multiple Sclerosis dan ketidakupayaan belajar atau Cerebral Palsy.

Mereka yang berusia 70 tahun ke bawah yang berisiko tinggi adalah mereka yang mempunyai masalah kesihatan antaranya gangguan limpa seperti sickle cell disease atau pembuangan organ limpa, sistem imunisasi badan yang lemah akibat HIV dan AIDS atau penggunaan ubat steroid yang berpanjangan atau menjalani rawatan kemoterapi, mereka yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes iaitu mempunyai indeks jisim badan (BMI) 40 atau lebih tinggi dan wanita hamil.

Selain daripada itu, terdapat juga beberapa masalah kesihatan yang boleh menyebabkan komplikasi penyakit yang lebih teruk jika terdedah kepada jangkitan COVID-19.

Mereka yang berisiko tinggi menghadapi komplikasi penyakit adalah individu yang pernah menjalani pemindahan organ dan masih dalam rawatan serta mengambil ubat immunisuppresion iaitu bagi mengukuhkan penerimaan organ berkenaan, secara berterusan, menghidap penyakit kanser dan sedang menjalani rawatan kemoterapi atau radioterapi, menghidap penyakit kanser darah atau sum-sum tulang seperti leukemia yang berada dalam apa jua peringkat rawatan, mereka yang mengalami paru-paru yang lemah seperti cystic fibrosis atau asma yang teruk di mana memerlukan rawatan hospital secara kerap atau pengambilan ubat yang berterusan, mengalami penyakit-penyakit organ yang teruk seperti penyakit buah pinggang kronik iaitu yang memerlukan rawatan dialisis serta wanita hamil yang mempunyai penyakit jantung yang serius.