Golongan fakir miskin terima sumbangan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Seramai 250 orang yang terdiri daripada golongan asnaf fakir dan miskin dan selebihnya daripada keluarga kurang berkemampuan yang terkesan akibat COVID-19 di seluruh negara, hari ini menerima sumbangan menerusi Agihan Bantuan Asasi Drive-Thru yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Bengkurong.

Majlis pengagihan sumbangan berupa barangan asasi yang dilaksanakan secara pandu lalu tersebut dikendalikan oleh Persatuan Wardah Amal Jariah Projek Kongsi Rezeki dengan kerjasama Zon 5 MPM Pengkalan Batu, Kilanas, Lumapas dan Sengkurong.

Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohimin bin Haji Johari @Jahari selaku ketua Kampung Limau Manis dan pemangku penghulu Mukim Pengkalan Batu turut hadir bagi menyaksikan secara langsung proses pengagihan bantuan tersebut.

Juga hadir ialah Pemangku Penghulu Mukim Kilanas, Haji Talib bin Haji Abu Bakar.

“Alhamdulillah dengan sumbangan yang diterima Persatuan Wardah, maka hari ini dapatlah disaksikan agihan bagi berkongsi rezeki kepada mereka memerlukan.”  

Yang Berhormat Haji Mohimin bergambar bersama tetamu dan ahli Persatuan Wardah Amal Jariah pada majlis yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Bengkurong.