Golongan kanak-kanak mangsa pertama kebuluran di yaman

SANAA – Bak kata peribahasa ‘orang lain yang makan nangka, orang lain yang kena getahnya’, itulah yang dialami oleh orang Yaman ketika ini.

Akibat peperangan saudara, rakyat pula yang merana menjadi mangsa menghadapi pelbagai masalah terutama masalah kebuluran.

Ini kerana peperangan tersebut memberikan kesusahan kepada beribu-beribu keluarga Yaman untuk mencari rezeki dan makanan harian mereka.

Sehinggakan golongan kanak-kanak merupakan mangsa pertama kebuluran di Yaman. Seperti mana yang dialami oleh Mohammed Hassan yang mengalami kekurangan gizi yang teruk akibat tidak mendapat sumber makanan harian yang mencukupi.

Mohammed Hassan melemparkan pandangan ketakutan ke arah pintu selepas seorang doktor masuk untuk memeriksa badannya yang sangat kurus di tempat tidur hospital Al-Sabeen di Sanaa di mana terjadinya pemberontakan, mencetuskan lima tahun peperangan yang menyebabkan berjuta-juta orang di Yaman di ambang kebuluran.

Mohammed Hassan baring di atas katil bagi rawatan di wad malnutrisi di hospital Al-Sabeen di Sanaa. – Xinhua
Seorang kanak-kanak kurang gizi sedang menerima rawatan perubatan akibat masalah kebuluran yang dialami masyarakat Yaman ketika ini. – Xinhua

Mohammed, berumur 15 tahun namun beratnya hanya 14kg, tinggal bersama keluarganya dalam khemah di sebuah desa terpencil di timur bandar pelabuhan Laut Merah Hodeidah, berhampiran garis depan pertempuran antara pemberontak Houthi yang disokong Iran dan pasukan kerajaan yang disokong oleh Saudi telah menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan selama berbulan-bulan.

“Mohammad telah dimasukkan ke hospital Al-Sabeen dari daerah As-Sukhnah di Hodeidah timur. Dia mengalami kekurangan gizi akut untuk masa yang lama kerana keadaan yang buruk di kawasan peperangan,” kata doktor Mousa Debis kepada media.

Mohammed berkata seorang lelaki yang murah hati memberikan wang kepada ayahnya untuk membantu memindahkannya ke hospital.

“Ayah saya bekerja sebagai pemotong kayu dan tidak mempunyai cukup wang untuk membawa saya ke hospital untuk rawatan sehinggalah seorang lelaki yang murah hati membantu kami,” katanya.

Ayahnya, Hassan, menyalahkan perang kerana memburukkan keadaan anaknya yang sangat kurang gizi, dan mengadu bahawa dia tidak dapat menjamin makanan asas harian yang diperlukan untuk keluarganya yang terdiri daripada sembilan ahli keluarga.

“Anak-anak saya dan saya lapar… makanan sehari-hari kita adalah roti kering dan kadang-kadang kita tidak mendapatnya, perang dan sekatan telah menghancurkan kehidupan kami, kami kini hidup dengan makanan yang sangat sedikit,” katanya mengeluh.

Keluarga Hassan adalah salah satu daripada beribu-ribu keluarga Yaman yang tidak mendapat satu hidangan untuk sehari atau menyewa rumah ketika harga makanan meningkat dan nilai mata wang negara jatuh akibat perang saudara.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan kira-kira 80 peratus daripada populasi Yaman memerlukan sokongan menyelamatkan nyawa.

“Sekitar 7.4 juta orang memerlukan bantuan permakanan, termasuk 2.1 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun, dan 1.1 juta wanita hamil dan menyusukan yang memerlukan rawatan kurang gizi akut,” kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres dalam satu kenyataan pada bulan Januari lalu.

Perang bermula pada akhir tahun 2014 apabila pemberontak Houthi menguasai sebahagian besar utara negara itu dan menyingkirkan kerajaan Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi. Gabungan ketenteraan yang diketuai oleh Arab Saudi ikut campur tangan pada bulan Mac 2015 untuk menyokong kerajaan Hadi.

Perang itu telah membunuh puluhan ribu orang, kebanyakannya orang awam, mengakibatkan lebih daripada 3 juta hidup melarat, mengurangkan gaji sektor awam dan menolak negara itu ke ambang kebuluran.

“Saya sangat sakit, saya harap saya akan pulih dan dapat kembali ke sekolah,” kata Mohammed dengan suara amat halus. – Xinhua