Golongan kurang bernasib baik tidak dilupakan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Dengan harapan untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik dalam bulan Ramadan ini, Takaful Brunei yang merangkumi Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn Bhd dan anak-anak syarikatnya, Takaful Brunei Am Sdn Bhd (TBA) dan Takaful Brunei Keluarga Sdn Bhd (TBK) telah mengunjungi dua buah keluarga untuk menghulurkan sumbangan menerusi inisiatif Jalur Kasih.

Mengetuai aktiviti tanggungjawab sosial korporat pertama Takaful Brunei bagi Ramadan tahun ini itu ialah Pengurus Besar TBA, Awang Barudin bin Haji Kudil dan disertai oleh pegawai dan kakitangan Takaful Brunei.

Menurut kenyataan yang diberikan, sumbangan yang dihulurkan terdiri daripada barangan keperluan asas seperti makanan dalam tin, bahan cuci pakaian, bahan-bahan masakan, beras dan banyak lagi.

Kunjungan ke kediaman keluarga berkenaan, masing-masing di Kampung Katok dan Perpindahan Mata-Mata itu, telah diakhiri dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon keberkatan dan berharap bebanan mereka akan berkurangan.

Salah sebuah keluarga yang menerima sumbangan daripada Takaful Brunei. – Gambar serahan Takaful Brunei