Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 APRIL – Sikap pemedulian terhadap masyarakat yang kurang mampu di negara ini dapat dilihat dengan pelbagai pihak termasuk sektor swasta giat mengadakan majlis-majlis penyampaian sumbangan.
Syarikat Kumpulan Teeyem (T.M Majeed) juga tidak ketinggalan menghulurkan sumbangan kepada 80 orang daripada golongan berkeperluan khas, ibu tunggal, anak-anak yatim dan orang kurang berkemampuan yang tinggal di Kampung Kilanas dan Kampung Jangsak.
Sumbangan berupa barang keperluan Hari Raya itu disampaikan oleh wakil pengurusan Syarikat Kumpulan Teeyem (T.M Majeed), Haji Ali Akbar, Ferose Khan dan Anwar Ali dengan disaksikan oleh Pemangku Ketua Kampung, Haji Ameerul Bahinee bin Haji Abdul Hamid.
Ferose Khan semasa ditemu bual Media Permata menjelaskan, sumbangan itu merupakan kali ke-14 diadakan bagi membantu golongan-golongan yang memerlukan dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Sebagai orang Islam, ujar beliau, ia juga adalah sebahagian daripada zakat.
Menurut beliau, T.M Majeed juga akan mengadakan sumbangan yang sama bagi Kampung Lambak Kanan di Pasar Raya Orbit, Kampung Salambigar, Jalan Muara. Sementara itu, rata-rata para penerima melahirkan rasa terima kasih atas sumbangan berkenaan.
Dengan adanya sumbangan tersebut akan dapat meringankan beban terutama dalam menyambut lebaran yang bakal menjelang nanti.