Golongan mualaf terima tambang haji

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Julai – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan mengurniakan tambang haji kepada saudara-saudara baru (Mualaf) yang terpilih untuk memberi peluang kepada mereka bersama-sama umat Islam yang lain bagi menunaikan fardu haji tahun 1438H/2017M.

Sehubungan itu, majlis penyerahan tambang haji berkenaan kepada seramai orang saudara baru yang terpilih dan layak bagi menunaikan Fardu Haji pada musim haji tahun 1438H/2017M telah diadakan hari ini di Dewan Multaqa, Lantai Bawah, Bangunan Tambahan Baru, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Penyampaian telah disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam (MUIB).

Saudara-saudara baru yang terpilih berkenaan ialah seramai 18 orang yang mengikuti Pakej Haji Darussalam Holdings Sdn Bhd, seorang yang mengikuti Pakej Haji Raudah Al-Amin Sdn Bhd dan seorang yang akan mengikuti Pakej Haji Straits Central Agencies (B) Sdn Bhd.

Setiap saudara baru berkenaan dikurniakan Tambang Haji Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menurut kadar yang diberikan kepada pegawai-pegawai kerajaan iaitu sebanyak $4,500 setiap seorang.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin menyempurnakan penyampaian kurnia tambang haji kepada golongan Mualaf yang terpilih.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin menyempurnakan penyampaian kurnia tambang haji kepada golongan Mualaf yang terpilih.

Mereka yang mengikuti ‘Pakej Zamrud’ dikurniakan bantuan kewangan sebanyak $7,200 bagi mencukupkan bayaran pakej Haji Darussalam Holdings Sdn Bhd berharga $11,700 yang membawa jumlah keseluruhan $129,600.

Manakala itu, seorang saudara baru dikurniakan bantuan kewangan sebanyak $7,350 bagi mencukupkan bayaran pakej Haji Raudah Al-Amin Sdn Bhd iaitu ‘Pakej ALL IN’ yang berharga $11,850 dan seorang lagi saudara baru dikurniakan bantuan kewangan sebanyak $10,460 bagi mencukupkan bayaran Pakej Haji Straits Central Agencies (B) Sdn Bhd iaitu ‘Pakej Ekonomi’ yang berharga $14,960.

Selain itu, setiap seorang daripada mereka juga diberikan bantuan kewangan sebanyak $2,000 bagi perbelanjaan persendirian (wang saku) yang membawa keseluruhan wang bantuan berjumlah $40,000.

Jumlah keseluruhan wang bantuan dan perbelanjaan sebanyak $187,410 berkenaan diambil daripada Kumpulan Wang Zakat Asnaf Mualaf.

Pemilihan saudara-saudara baru yang akan menunaikan fardu haji tahun ini adalah melalui sesi temu duga dan berdasarkan garis pandu yang telah disediakan oleh MUIB.

Dengan adanya kurnia tambang seperti ini, ia menggambarkan betapa tingginya pemedulian Baginda terhadap saudara-saudara baru di negara ini, di samping bagi tujuan untuk meningkatkan penghayatan agama Islam dalam kalangan saudara-saudara baru yang sempurna dan mantap, bukan sahaja dari segi akidah dan keimanan terhadap Allah S.W.T tetapi juga dari segi pelaksanaan ibadah Rukun Islam kelima iaitu menunaikan fardu haji ke Mekah.