Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MEI – Kebajikan dan kesejahteraan orang kelainan upaya (OKU) di negara ini terus diberikan perhatian di mana atas dasar pemedulian itu, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan tajaan Syarikat Galleria YMRM mengadakan Majlis Sumbangan Hari Raya, hari ini.
Sumbangan disampaikan secara pandu lalu di kawasan letak kereta VIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Majlis sumbangan merupakan majlis tahunan KKBS bersama Syarikat Galleria YMRM sejak 2016 yang bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara murid dan pelatih bersama pegawai dan tenaga kerja Pusat Bahagia dengan beberapa rakan strategik.
Seramai 175 orang murid dan pelatih Pusat Bahagia Brunei dan Muara telah menerima sampul Hari Raya Aidilfitri dan hadiah berupa goodies bag hasil sumbangan ikhlas daripada Syarikat Galleria YMRM.
Penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Pengerusi Syarikat Galleria YMRM, Ramesh J Bhawnani dan Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan) di KKBS, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said.
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di KKBS, Dayang Saidah binti Haji Wahid; Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Pengiran Siti Rahmah binti Pengiran Haji Salleh dan pegawai-pegawai kanan di KKBS serta Syarikat Galleria YMRM.
Majlis seumpama itu dihasratkan dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia memberikan keceriaan dan kegembiraan kepada murid-murid dan para pelatih OKU dalam sama-sama menyambut bulan Syawal.
Majlis itu bukan sahaja dapat meningkatkan keyakinan golongan OKU untuk berhadapan dengan masyarakat bahkan juga dapat meningkatkan keterlibatan mereka di dalam masyarakat.
Oleh itu, para dermawan dan sukarelawan di Brunei Darussalam dialu-alukan serta digalakkan untuk memeduli kebajikan golongan OKU secara aktif menerusi apa jua aktiviti atau sumbangan yang berkaitan.





























