Golongan terkesan dinasihatkan terus bekerja

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Golongan yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19 dinasihatkan untuk terus bekerja dan bukannya berhenti kerja serta mengambil kesempatan dengan memohon bantuan di bawah Sistem Kebajikan Negara (SKN).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah menekankan perkara tersebut ketika menjawab persoalan mengenai peranan SKN semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato berkata sungguhpun SKN memainkan peranan yang penting dalam usaha kerajaan untuk membantu dan menjaga kesejahteraan golongan yang kurang bernasib baik namun orang ramai yang masih mampu untuk berdiri sendiri, sihat tubuh badan serta mampu bekerja harus berusaha menyara kehidupan mereka.

Menurutnya lagi, SKN mengandungi beberapa skim kebajikan ke dalam satu sistem di mana ia memainkan peranan yang penting untuk sama-sama menjaga kebajikan orang yang benar-benar memerlukan bantuan.

Jika disebabkan oleh wabak COVID-19 berlaku kejadian yang malang dan mereka memerlukan bantuan maka bolehlah memohon SKN demi menjaga kesejahteraan mereka yang memerlukan.