Gomes mungkin kembali beraksi

LONDON, 8 NOV – Pemain tengah Everton, Andre Gomes berpeluang untuk kembali beraksi sebelum musim ini berakhir selepas pembedahan buku lalinya berjalan lancar, kata pengurus Marco Silva.

Pemain berusia 26 tahun itu mengalami kecederaan ngeri di buku lali kanannya selepas menerima terjahan penyerang Tottenham, Son Heung-min ketika pertembungan kedua-dua pasukan yang berakhir 1-1, minggu lalu.

Silva berkata perkhabaran daripada staf perubatan pasukan itu menggalakkan susulan pembedahan dan difahamkan pemain kelahiran Portugal itu boleh kembali bermain sebelum kempen musim ini menutup tirai pada pertengahan Mei.

“Tidak mudah bagi kami untuk mengesahkan tarikh bila dia akan kembali,” kata Silva. “Apa yang berada di minda kami dan maklum balas daripada staf perubatan adalah ada kemungkinan kita akan melihat Andre bermain semula pada musim ini.

“Sudah tentu, ia bukan sesuatu yang kami pasti 100 peratus, tetapi kami mempunyai kemungkinan yang baik untuk melakukannya. Dia seorang yang kuat, dia akan terus seperti itu dan menjadi lebih kuat sebagai pemain.”

Silva yang pasukannya terdesak memerlukan mata dan hanya dibezakan satu mata daripada zon penyingkiran berkata dia memahami perasaan Son dan pertahanan Ivory Coast, Serge Aurier.

“Ya, saya fikir di (Gomes) mendapat mesej atau sesuatu seperti itu daripada Son,” kata Silva. “Sudah tentu ia masa yang sukar untuk Andre, sudah pasti dan juga untuk semua orang di atas padang.” – AFP

Andre Gomes diusung keluar padang oleh pasukan perubatan setelah mengalami kecederaan di Goodison Park, Liverpool. – AP