Gondola alternatif terbaru atasi kesesakan lalu lintas

ALBANY – Sebagai langkah untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas atau lelah untuk menunggu teksi, perhubungan kabel yang mempunyai pintu dan jendela kaca mula direncanakan untuk dibina di bandar raya me-tropolitan New York bagi meng-atasi masalah tersebut.

Sebuah pelan futuristik yang menampilkan imej gondola moden yang telah dihasilkan oleh firma kejuruteraan berpotensi untuk direalisasikan yang setentunya bakal memberikan pelbagai faedah kepada penduduk di New York.

Ia juga merupakan satu langkah terbaik di beberapa buah bandar raya lain seperti Austin di Texas dan Washington D.C. bagi mengatasi beberapa masalah kesesakan lalu lintas tidak kira sama ada di lebuh raya, jambatan ataupun mungkin menjadi alternatif terbaik selain daripada pengangkutan awam yang sedia ada.

“Setakat ini, kami tidak pernah melihat idea yang cukup bernas ini diadaptasi di Amerika Utara, namun berbekalkan daripada perkembangan arus teknologi yang pesat sejak beberapa dekad lalu menjadikan ia tidak mustahil untuk direalisasikan dalam masa terdekat,” jelas Steven Dale, arkitek yang bertanggungjawab dalam me-rencanakan Projek Gondola yang berasal dari Toronto.

Reka bentuk kabel yang bakal dibina di bandar raya moden itu adalah hampir sama dengan pengangkutan yang dibina untuk memudahkan penghantaran perhubungan para pemain ski ke kawasan pergunungan.

Masalah kesesakan lalulintas sering membelenggu kehidupan masyarakat dan para pelancong di Albany, New York.
Masalah kesesakan lalulintas sering membelenggu kehidupan masyarakat dan para pelancong di Albany, New York.

Pengangkutan awam yang terdiri daripada sistem gondola atau kabel udara pertama kali dilancarkan di benua Amerika Selatan adalah sistem pengangkutan Medellin di Colombia pada tahun 2004 dan diikuti dengan sistem pengangkutan gondola Mexicable yang dilancarkan di Mexico pada bulan Oktober lalu.

Sebelum ini, projek gondola atau kabel udara ini juga pernah dicadangkan di beberapa buah kawasan seperti perhubungan di antara Sungai Potomac dengan bandar Georgetown , bandar Rosslyn, Virginia menuju ke bandar Austin, Texas dan Branson Landing menuju ke Silver Dollar City di Branson, Missouri.

Sementara pembinaan gondola tersebut di Albany pula adalah bertujuan untuk mengatasi masalah kesibukan perjalanan orang awam dari stesen Amstrak menuju ke bandar Rensselaer yang menyeberangi Sungai Hudson di mana jarak perjalanan di antara dua kawasan itu adalah sejauh 1.3 batu dengan menggunakan teksi.

Ia merupakan salah satu pusat jabatan kerajaan dan juga turut menempatkan pusat hiburan yang menjadi tumpuan kepada ramai penduduk setempat dan juga para pelancong.

Kebanyakan pelancong juga sering mengadu mengenai masalah kekurangan teksi sehingga memaksa mereka untuk menumpang atau harus menunggu pada waktu yang lebih lama.

“Dari New York, saya memilih untuk menaiki bas Greyhound untuk menuju ke Albany dan membuat keputusan untuk cuba berjalan kaki menuju ke stesen keretapi memandangkan jarak perjalanannya hanya adalah satu batu,” jelas Rosemary Scheibel, salah seorang pejalan kaki yang datang dari Auburn.

“Namun saya sangat terkejut apabila mengetahui keadaan lalu lintas di kawasan tersebut dalam keadaan sesak sehingga membuatkan saya berasa tidak selamat untuk melintasi jalan raya dan sekaligus membuatkan saya nekad untuk kembali mengambil teksi bagi meneruskan perjalanan ke destinasi yang dituju,” tambah beliau.

Sistem gondola atau kabel udara yang dirancangkan dijangka bakal menjadi alternatif terbaik dalam menyelesaikan masalah penduduk terhadap isu kesesakan lalulintas.
Sistem gondola atau kabel udara yang dirancangkan dijangka bakal menjadi alternatif terbaik dalam menyelesaikan masalah penduduk terhadap isu kesesakan lalulintas.
Sistem pengangkutan gondola sebelum ini cukup popular dalam menghubungkan pemain ski ke kawasan pergunungan.
Sistem pengangkutan gondola sebelum ini cukup popular dalam menghubungkan pemain ski ke kawasan pergunungan.

Pelan gondola itu dijangka bakal menawarkan khidmat pengangkutan kepada seramai 1,200 penumpang dalam setiap satu jam merentasi Sungai Hudson yang mana ia hanya mengambil masa selama lima minit bagi setiap perjalanan.

Menyentuh kepada reka bentuknya pula, ia bakal dibina dalam keadaan tertutup, memuatkan seramai lapan orang penumpang, dilengkapi dengan alat penyaman udara bagi memastikan keselesaan penumpang dan memiliki jendela kaca yang luas bagi membolehkan para penumpang untuk menikmati keindahan panorama di sekitar bandar itu.

“Bagi saya, ia adalah satu idea yang sangat bernas dan rata-rata ramai pihak yang sangat tertarik dengan pembangunan ini,” jelas Datuk Bandar Demokratik Albany, Kathy Sheehan.

West Nyack, anak syarikat kepada Kumpulan Jurutera McLaren berpangkalan di New York yang bertanggungjawab dalam merencanakan idea tersebut telah menganggarkan kos pembinaan tersebut bakal memerlukan peruntukan di antara AS$17 juta sehingga AS$20 juta.

“Sekiranya pelan ini berjaya mendapat kelulusan daripada banyak agensi kerajaan dan persekutuan, maka pembayaran terhadap kos tersebut setentunya juga bakal mendapat sokongan daripada dana awam dan swasta,” jelas jurucakap McLaren.

“Pada dasarnya pembinaan gondola ini bukan sahaja memberikan penyelesaian kepada masalah kesesakan lalulintas bahkan ia juga secara tidak langsung menjadi satu tarikan kepada sektor pelancongan,” jelas Pengarah Kebangsaan Perancangan Strategik Mc Laren, Peter Melewski.

Pengarah Pengangkutan bagi Daerah Perniagaan Georgetown, Will Handsfield menjelaskan bahawa projek gondola ini adalah alternatif pengangkutan yang terbaik memandangkan kos pembinaan lebuhraya dan sistem kereta api juga semakin meningkat. – AP