Wednesday, February 19, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Google akan tarik diri daripada perjanjian tentera AS

    SAN FRANCISCO, 3 Jun – Pekerja Google pada Jumaat menerima berita bahawa syarikat gergasi Internet itu akan menarik diri daripada satu perjanjian untuk membantu tentera Amerika Syarikat (AS) menggunakan kecerdasan buatan untuk menganalisis video dron ekoran satu bantahan daripada kakitangan, menurut laporan.

    Kerjasama dengan Jabatan Pertahanan AS dikatakan telah mencetuskan tentangan dalam syarikat yang berpangkalan di California.

    Satu petisyen dalaman yang meminta Google supaya menjauhi ‘perniagaan perang’ berjaya mengumpul beribu-ribu tandatangan, dan sesetengah pekerja dilaporkan meletak jawatan untuk membantah satu kerjasama dengan tentera.

    Akhbar The New York Times dan laman web berita teknologi Gizmodo memetik sumber tanpa nama sebagai berkata sekumpulan eksekutif cloud Google memberitahu pekerja pada Jumaat bahawa syarikat tidak akan berusaha memperbaharui kontrak kontroversi selepas ia luput tempohnya pada tahun depan.

    Gambar fail pada 4 Disember 2017 menunjukkan logo Google di luar pejabatnya di New York. Baru-baru ini Google akan menarik diri daripada perjanjian bantuan tentera AS untuk menganalisis video dron ekoran satu bantahan daripada kakitangan. – AP

    Kontrak itu dilaporkan bernilai kurang daripada AS$10 juta untuk Google, tetapi dipercayai mempunyai potensi untuk membawa kepada lebih banyak kerjasama teknologi menguntungkan dengan tentera.

    Google tidak memberi respons kepada permintaan untuk komen.

    Google masih mendiamkan diri mengenai Projek Maven, yang dilaporkan menggunakan mesin pembelajaran dan bakat kejuruteraan untuk membezakan orang dan objek dalam video dron untuk Jabatan Pertahanan.

    “Kami percaya Google tidak harus membabitkan diri dalam perniagaan perang,” kata petisyen pekerja, menurut salinan yang disiarkan di Internet. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda