Google, akhbar Perancis meterai perjanjian hak cipta

PARIS, 21 JAN – Google dan akhbar Perancis berkata hari ini mereka telah memeterai satu perjanjian bertujuan membuka laluan kepada bayaran hak cipta digital daripada syarikat gergasi dalam talian itu selepas rundingan selama beberapa bulan.

Perjanjian yang ditandatangani dengan gabungan akhbar Perancis APIG membabitkan ‘hak royalti’, yang menuntut bayaran kerana menunjukkan isi kandungan berita dengan carian internet, menurut satu kenyataan bersama.

Ia berkata perjanjian itu menetapkan rangka kerja untuk Google berunding perjanjian lesen individu dengan akhbar mengenai bayaran dan akan memberikan akhbar akses kepada program News Showcase baharunya, yang melihatnya membayar penerbit untuk beberapa isi kandungan terpilih.

Bayaran akan dikira secara individu dan akan berdasarkan kriteria termasuk jumlah tontonan internet dan jumlah maklumat yang disiarkan.

Ketua APIG Pierre Louette berkata perjanjian itu menyumbang kepada ‘pengiktirafan hak untuk akhbar dan bermulanya bayaran ganjaran mereka menerusi platform digital untuk kegunaan penerbitan mereka dalam talian.’

Ketua Google Perancis Sebastien Missoffe menggelar perjanjian bukti ‘komitmen’ yang membuka kepada ‘perspektif baharu.’ – AFP

Gambar fail menunjukkan logo syarikat teknologi multinasional dan perkhidmatan berkaitan internetGoogle di Brussels. Google dan Perikatan Akhbar Perancis memeterai perjanjian membuka laluan kepada bayaran ganjaran kepada akhbar Perancis oleh Google untuk ‘hak royalty.’ – AFP