Google, Apple pasang perisian pengesan kontak dalam telefon

NEW YORK, 3 SEPT – Apple dan Google merancang menyepadukan perisian pengesan kontak dalam telefon pintar tatkala mereka mengembangkan bersama inisiatif untuk memerangi koronavirus.

Teknologi itu, pertama dilancarkan pada April dalam perisian iOS Apple dan sistem Android Google, bertujuan mengingatkan orang ramai menerusi telefon pintar mereka apabila mereka mempunyai kontak dengan individu yang dijangkiti koronavirus.

Bagaimanapun, pelaksanaan adalah perlahan di Amerika Syarikat (AS), dengan beberapa negeri yang membangunkan aplikasi telefon pintar menggunakan sistem tersebut.

Di bawah perubahan itu, pihak berkuasa kesihatan awam boleh menggunakan program syarikat tanpa membangunkan aplikasi mereka sendiri, dan orang yang mendaftar untuk menggunakan perkhidmatan itu tidak perlu memuat turun aplikasi berasingan untuk menggunakan sistem tersebut.

“Sebagai langkah seterusnya dalam kerja kami dengan pihak berkuasa kesihatan awam mengenai Notifikasi Pendedahan, kami menjadikannya lebih senang dan cepat untuk mereka menggunakan Sistem Notifikasi Pendedahan tanpa membangunkan dan mengekalkan satu aplikasi berasingan,” kata Apple dan Google.

Apple dan Google telah menekankan bahawa program itu melindungi privasi pengguna dan mewajibkan peserta memilih dalam bidang kuasa di mana sistem digunakan.

“Kami komited untuk menyokong pihak berkuasa kesihatan awam yang telah menggunakan atau sedang membangunkan aplikasi biasa.” – AFP