Google atasi krisis perumahan

SAN FRANCISCO, 19 JUN – Google semalam berjanji akan memperuntuk lebih daripada AS$1 bilion untuk membantu mengatasi krisis perumahan teruk di kawasan yang termasuk ibu pejabatnya dan Silicon Valley.

Ketua eksekutif Sundar Pichai mengumumkan inisiatif itu, berkata syarikat gergasi internet itu mahu menjadi ‘jiran yang baik’ di kawasan yang dipenuhi dengan syarikat teknologi.

Tindakan itu diambil tatkala firma Silicon Valley menerima tekanan berhubung kenaikan dalam harga harta tanah, kekurangan rumah yang mampu dibeli dan masalah ketiadaan tempat tinggal yang meningkat di kawasan Teluk San Francisco.

Kawasan itu telah menarik beribu-ribu pekerja teknologi bergaji tinggi yang telah menjejaskan bekalan perumahan dan mendorong kepada ledakan dalam harga.

Pichai berkata Google sebelumnya telah melabur dalam perumahan di kawasan di mana ia mempunyai operasi.

“Hari ini kami mengumumkan pelaburan tambahan berjumlah AS$1 bilion dalam perumahan di seluruh Kawasan Teluk,” kata Pichai dalam satu blog.

Google, unit terbesar syarikat pegangan Alphabet, juga memperuntuk AS$250 juta dalam dana pelaburan yang memberikan insentif untuk membina sekurang-kurangnya 5,000 unit rumah yang mampu dalam pasaran. – AFP

Gambar fail bertarikh 1 Mei 2019 menunjukkan seorang wanita berjalan di depan papan tanda Google di San Francisco. Google berjanji akan memperuntuk AS$1 bilion untuk mengatasi harga perumahan yang meningkat di Kawasan Teluk San Francisco, masalah yang wujud tatkala industri teknologi itu menggaji puluhan ribu pekerja. – AP