Google beli pejabat New York AS$2 bilion

NEW YORK, 22 SEPT – Google mengumumkan semalam rancangan untuk membeli bangunan pejabat Bandar New York dengan harga AS$2.1 bilion, sekali gus mengesahkan usahanya untuk melabur di bandar terbesar AS meskipun trend dalam talian semasa pandemik.

Menurut Real Capital Analytics, dipetik oleh Wall Street Journal, ia merupakan pembelian hartanah terbesar di Amerika Syarikat (AS) untuk bangunan pejabat sejak bermulanya penularan COVID-19 di seluruh dunia.

Google telah pun menyewa premis di Manhattan, yang terletak di tapak bekas terminal stesen kereta api di kawasan Hudson Square.

Syarikat gergasi di Silicon Valley itu berhasrat memiliki sebuah kampus dengan jumlah kawasan seluas 160,000 meter persegi menjelang pertengahan 2023 yang akan berfungsi sebagai ibu pejabat New York untuk jualan dan rakan kongsi.

Tapak terakhir akan merangkumi tiga bangunan di antara Hudson Street dan Washington Street, dengan pembinaan dua bangunan telah pun siap.

Syarikat itu, dengan ibu pejabatnya terletak di Mountain View, California, telah membuat pembelian berbilion dolar di Bandar New York, termasuk AS$2.4 bilion yang diperuntukkan ke atas bangunan Chelsea Market.

“Google berasa bangga untuk menggelar Bandar New York sebagai tempat tinggalnya selama lebih daripada 20 tahun, di mana kami mempunyai 12,000 pekerja,” kata CFO kumpulan Ruth Porat dalam satu kenyataan.

Datuk bandar New York, Bill de Blasio mengalu-alu berita itu dengan berkata, “Google sedang memimpin untuk memulihkan ekonomi kami.’ – AFP

Gambar fail menunjukkan pejabat kampus Google Bandar New York yang terletak di 315 dan 345 Hudson Street. Google mengumumkan rancangan untuk membeli bangunan pejabat di Bandar New York dengan harga AS$2.1 bilion. – AFP