TAIPEI, 21 Sept – Pengeluar telefon pintar Taiwan HTC berkata hari ini ia akan menjual sebahagian daripada perniagaan telefon pintarnya kepada Google dengan harga AS$1.1 bilion tatkala syarikat gergasi Amerika Syarikat (AS) itu menimbang mengambil kawalan yang lebih ke atas perniagaan perkakasannya.
Google akan mengambil separuh daripada kakitangan penyelidikan HTC, kira-kira 2,000 orang, kebanyakan mereka telah bekerja di firma handset Pixel di Silicon Valley, serta perlesenan harta intelektual (IP).
HTC berkata dalam satu kenyataan perjanjian dijangka selesai pada awal tahun depan, sementara menunggu kebenaran daripada pihak pengawal.
“Bagi Google, perjanjian ini memperkukuh seterusnya komitmen mereka dalam telefon pintar dan pelaburan keseluruhan dalam perniagaan perkakasannya,” beritahu jurucakap HTC Peter Shen pada persidangan akhbar di Taipei.
“Selain daripada kumpulan profesional yang berbakat dan berpengalaman, Google akan terus menggunakan IP HTC untuk menyokong keluarga telefon pintar Pixel. Perjanjian ini juga melambangkan pelaburan besar oleh Google di Taiwan sebagai pusat inovasi dan teknologi utama.”

Beliau enggan memberikan butir-butir lanjut namun menekankan HTC akan terus memajukan dan menjual telefon pintar di bawah jenamanya sendiri.
Firma Taiwan itu kini sedang mengusahakan telefon baru dan juga akan terus melabur dalam bidang seperti alam maya, kecerdasan buatan dan Internet, tambah Shen.
“Perjanjian merupakan satu bukti kepada hubungan strategik selama satu dekad di antara HTC dan Google mengenai pembangunan telefon pintar premium,” kata Google dalam satu kenyataan bersama dengan HTC.
Perjanjian itu akan memberikan Google lebih banyak kawalan ke atas perkakasan handset tatkala ia berusaha menambah kehadirannya dalam pasaran yang dikuasai oleh Apple dan Samsung. – AFP