Google dituduh cabul privasi pengguna

CANBERRA, AUSTRALIA, 27 JULAI – Badan pengawas pengguna Australia melancarkan tindakan guaman ke atas Google hari ini mendakwa syarikat gergasi teknologi itu memperdaya pemegang akaun mengenai penggunaannya dalam data peribadi mereka.

Tindakan Suruhanjaya Pertan-dingan dan Pengguna Australia di Mahkamah Persekutuan adalah litigasi terbaharu yang dihadapi oleh Google di seluruh dunia berhubung dakwaan pencabulan privasi.

Suruhanjaya itu mendakwa syarikat di California memperdaya jutaan warga Australia untuk mendapatkan kebenaran mereka dan mengembang skop maklumat peribadi yang dikumpul oleh Google mengenai aktiviti internet pengguna untuk menyasarkan periklanan.

Dakwaan berpunca daripada tindakan Google pada 2016 untuk menggabung maklumat peribadi pengguna dalam akaun Google mereka dengan maklumat daripada aktiviti pengguna yang sama di laman bukan Google yang menggunakan teknologi Google, sebelum ini teknologi DoubleClick, untuk memaparkan iklan.

“Kami mendakwa Google tidak mendapatkan kebenaran daripada pelanggan untuk mengambil langkah ini,” kata pengerusi suruhanjaya Rod Sims, dalam satu kenyataan.

“ACCC menganggap pengguna membayar perkhidmatan Google dengan data mereka, maka perubahan yang diperkenalkan oleh Google menambah ‘harga’ perkhidmatan Google, tanpa pengetahuan pengguna,” tambah Sims.

Google berkata ia telah bekerjasama dengan badan pengawas dalam siasatannya dan pemegang akaun telah diminta ‘memberikan kebenaran menerusi pemberitahuan yang mudah difahami.’

“Kami membantah dakwaan mereka dan berhasrat memperta-hankan kedudukan kami,” menurut kenyataan Google. – AP