Google, Huawei putus hubungan

SAN FRANCISCO, 20 Mei – Syarikat gergasi Internet Amerika Syarikat (AS), Google yang sistem operasi mudah alih Androidnya digunakan dalam kebanyakan telefon pintar di dunia, berkata ia mula memutuskan hubungan dengan Huawei China, yang Washington anggap sebagai ancaman keselamatan negara.

Langkah itu boleh memberi implikasi dramatik kepada pengguna telefon pintar Huawei, apabila syarikat gergasi telekom itu tidak lagi akan mendapat akses kepada perkhidmatan proprietari Google – termasuk aplikasi Gmail dan Google Maps – sumber terdekat memberitahu AFP.

Laporan-laporan juga terdedah hari ini yang menyatakan beberapa pengilang cip AS menyediakan perkakasan penting bagi telefon pintar Huawei telah berhenti memberi bekalan kepada firma China.

Di tengah-tengah perang perdagangan bersama Beijing, Presiden Donald Trump telah menegah syarikat-syarikat AS dari terlibat dalam perdagangan telekomunikasi dengan syarikat asing berkata bakal mengancam keselamatan negara Amerika.

Langkah-langkah itu menyasarkan Huawei, pengilang telefon pintar kedua terbesar di dunia, yang telah disenaraikan oleh Jabatan Perdagangan AS dalam kalangan firma yang syarikat-syarikat Amerika boleh dagangkan jika pihak berkuasa memberikan kebenaran.

Logo Huawei dipamerkan di kedai runcit di Beijing pada 20 Mei. – AFP

Tegahan itu termasuk perkongsian teknologi. Google, seperti semua syarikat teknologi lain, berkolaborasi langsung dengan pembuat telefon pintar untuk memastikan sistemnya bersesuaian dengan peranti mereka.

“Kami mematuhi arahan dan mengkaji semula implikasi,” kata jurucakap Google memberitahu AFP.

“Kami yakinkan anda sambil kami mematuhi semua kehendak kerajaan AS, bagaimanapun perkhidmatan seperti Google Play dan sekuriti dari Google Play Protect akan kekal berfungsi dalam peranti Huawei yang ada,” menurut akaun rasmi @Android Google dalam Twitter.

Disebabkan tegahan itu, Google akan terpaksa untuk membatalkan aktiviti perniagaan bersama Huawei yang melibatkan pemindahan langsung perkakasan, perisian dan perkhidmatan teknikal yang tidak akan diperolehi secara umum.

Ia bermaksud Huawei hanya akan dapat menggunakan versi sumber terbuka Android.

Ia juga terpaksa untuk mengakses secara manual mana-mana kemas kini atau perisian dari Android Open Source Project dan juga mengedarkan kemas kini kepada pengguna itu sendiri, beritahu sumber kepada AFP.

Dalam satu kenyataan, Huawei berkata ia akan ‘terus menyediakan kemas kini keselamatan dan perkhidmatan selepas jualan’ kepada semua pengguna telefon pintar dan tablet yang sedia ada di seluruh dunia, termasuk yang belum lagi terjual.

Seseorang yang mengetahui tentang hal itu yang meminta namanya dirahsiakan memberitahu Bloomberg News yang Huawei tidak lagi akan dapat menawarkan aplikasi proprietari Google dan perkhidmatan itu pada masa hadapan. – AFP